Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....
Bismillahirrahmanirrahim....
Entry 1 : Pra - Kembara Umrah 15 Dis - 26 Disember 2014
Entry 2 : Kembara Umrah 15 - 26 Disember 2014
Entry 3 : Kembara Umrah Day 1 (15/12/2014)
Kami tiba di hotel Loq Loq Al Azhar sekitar jam 12 malam. Urusan check-in berjalan dengan cepat sekali. Setelah berpindah bilik, kami turun ke Aras 1 untuk makan malam. Naik semula ke bilik untuk buang air dan mengambil wudu'.
Jam 2,30 pagi semua jemaah berkumpul di lobi hotel untuk sama-sama berangkat ke Masjidilharam. Ustaz Fauzi menjelaskan satu persatu perjalanan program kami sebentar lagi. Menunjukkan arah kedudukan hotel kami, menerangkan laluan pergi dan balik dari hotel ke masjidilharam serta pintu masuk yang paling mudah untuk kami tuju.
Kami dibawa masuk melalui pintu King Fahd, satu kedudukan yang agak jauh dari Kaabah tetapi sangat dekat dengan Menara Jam dan juga hotel. Pintu 93 merupakan pintu masuk pertama yang kami lalui. Di bibir lafaz zikir membasahi bibir tanpa henti. Di sebelah kiri laluan, deretan air zamzam yang disediakan di dalam tong tong khas berwarna krim tersusun rapi. Ustaz Fauzi meminta kami semua berhenti seketika, dan meneguk air zamzam terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Baitullah.
Mata saya liar memandang ke kiri kanan & hadapan, tercari-cari arah ke manakah akan kami tuju untuk melihat rumah Allah itu.. Sejurus terpandang sahaja sebuah kotak hitam besar di sebalik tiang dan juga laluan bertingkat, saya sudah bersiap sedia dengan Buku Panduan Umrah yang sentiasa tergantung di leher. Sebaik sahaja kotak hitam itu jelas sempurna di hadapan mata, saya berhenti melangkah dan mula membaca doa ketika mula-mula melihat Kaabah... Sayu... sayu... sayu.... Itu sahaja yang mampu saya katakan...
Ustaz di hadapan sudah memulakan langkah untuk menuju ke arah Hajar Aswad. Kami segera mengekori ustaz untuk memulakan umrah pertama kami. Alhamdulillah ibadah umrah kami selesai sekitar jam 5.00 pagi.
Ketika ini kami adik beradik semua sudah terpecah... Adik Lina menemankan Ayahanda ke tandas. Tidak lama kemudian saya bersama Bonda, adik lelaki (Ateh) & adik ipar (Khabib) ke tandas juga untuk mengambil wudu'. Tetapi tidak pula bertemu Adik & Ayahanda di sana. Saya menemankan bonda ke tandas wanita yang terletak di bawah tanah, manakala Ateh & Khabib ke tandas lelaki yang katanya terletak di aras atas. Setelah keluar dari tandas, saya dan bonda menunggu Ateh & Khabib di tiang lampu di hadapan tandas, iaitu tempat pertemuan yang telah dipersetujui bersama. Malangnya, Ateh & Khabib tidak muncul muncul juga sehinggalah iqamah dilaungkan. Saya mengambil keputusan untuk mengajak bonda solat di dataran sahaja kerana sudah kesuntukan masa untuk masuk ke kawasan masjid.
Perasaan syahdu sangat menusuk di hati... Airmata tidak dapat ditahan-tahan. Saya sungguh tidak sangka di subuh hening ini, inilah kali pertama saya mendirikan solat di masjidilharam... sungguh tak sangka...
Selesai solat, saya panjatkan doa agar dapat bertemu dengan adik-adik saya nanti. Alhamdulillah Allah memakbulkan doa saya ketika itu juga. Untuk keluar dari masjidilharam dari kawasan saie, kami perlu melalui Baitullah.. Sewaktu melintasi hajar aswad, bonda ternampak Ateh & Khabib sedang berlegar legar di bawah lingkaran tawaf.. Nampak jelas raut kelegaan di wajah ateh apabila ternampak kami berdua... "Ngah... nasib baik jumpa ngah... ateh memang tengah cari cari jalan balik hotel nie".. Saya tersenyum girang.. Saya juga memang berdoa agar dapat bertemu dengan ateh tadi..
Selesai menunaikan solat Zuhur, kami pulang ke hotel bersama-sama. Cuaca sepanjang kami berada di sini sangat nyaman. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Suhu sekitar 22 C. Di waktu tengahari hanya jejak ke suhu 25-27 C sahaja. Perjalanan pulang ke hotel walau berjalan kaki langsung tidak terasa panas. Sempat juga kami bergambar di hadapan masjidilharam sebelum pulang ke hotel.
Setiba di hotel, adik & ayahanda sudah menanti di Dewan Makan. Kepuasan jelas tergambar di wajah masing-masing kerana telah menyempurnakan umrah pertama kami. Mudah-mudahan Allah menerima ibadah kami.
Selesai bersarapan, kami masuk ke bilik. Ketika inilah baru terasa segala kepenatan yang terkumpul sekian lama sejak 14hb Disember sehinggalah 16hb Disember 2015. Ketika inilah baru kami dapat meluruskan pinggang dan tidur dengan sempurna di atas katil . Jika dihitung, rasanya hampir 48 jam saya tidak tidur dengan sempurna. Sungguh nikmat dapat melelapkan mata walaupun hanya dua jam sahaja iaitu dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi.
Jam 11 pagi, kami berkumpul di lobi untuk ke Masjidilharam untuk menunaikan solat Zuhur. Waktu Zuhur masuk sekitar jam 12.16 t/hari. Kami memang suka bergerak awal ke masjidilharam kerana ingin mendapatkan seberapa hadapan saf yang boleh. Jarak di antara hotel dan masjidilharam agak jauh, sekitar 15 minit berjalan kaki. Bagi memudahkan para jemaah, Ustaz Fauzi telah menempah shuttle dari hotel ke masjidilharam. Perjalanan 15 minit menjadi 3 minit sahaja. Alhamdulillah, sekali lagi kami menjadi tetamuNya yang istimewa di sini.
Gambar di atas adalah gambar di dalam shuttle... Shuttle ini boleh memuatkan seramai 23-25 orang penumpang... Bila tidak ramai penumpang, ada laluan untuk penumpang menuju ke belakang. Bila penuh, laluan akan ditutup dengan cara menurunkan seat penumpang.
Rutin harian kami di Mekah adalah seperti berikut :-
2.00 pagi : bangun tidur & mandi
3.00 pagi : bergerak ke Masjidilharam untuk menunaikan solat subuh
5.29 pagi : waktu Subuh
7.00 pagi : pulan ke hotel
7.30 pagi : sarapan
8.00 pagi : tidur
10.00 pagi : bangun & mandi
11.00 pagi : bergerak ke masjidilharam untuk menunaikan solat zuhur
12.16 pagi : waktu zuhur
1.00 petang : pulang ke hotel
1.30 petang : makan tengahari
2.20 petang : bergerak ke masjidilharam untuk solat Asar, Maghrib & Isyak
8.00 malam : bergerak pulang ke hotel
8.30 malam : makan malam
9.00 malam : tidur
.............to be continued............