11 tahun sudah berlalu, namun duka itu masih kusimpan dalam relung hati. Mahu diluah umpama membuka pekung di dada sendiri. Mahu disimpan umpama sekam membakar diri. Namun hari ini kugagahkan juga untuk mencoret sesuatu yang mungkin boleh menjadi iktibar kepada insan lain.
Siapa yang mahu hari bahagia yang sepatutnya menjadi hari terindah dalam hidup dicemari noktah hitam yang amat pahit untuk dikenang dalam sejarah hidup? Hari persandingan yang sepatutnya diwarnai haruman kebahagiaan telah tercalar dengan keterlanjuran diri membelakangkan adat yang dikendong sejak zaman berzaman.
Usai majlis pernikahan dan persandingan di rumah pengantin perempuan (rumah aku ler tu!), aku masuk kerja semula lantaran cuti tahunan yang tidak banyak bersisa. Suami pula masih bercuti dan sudah mula pulang ke rumah sendiri untuk menguruskan urusan kenduri kendara seperti mengambil kelapa, membeli bahan-bahan mentah seperti beras, ayam daging dan lain-lain lagi memandangkan suami merupakan satu-satunya anak lelaki di dalam keluarga itu.
Jiran-jiran dan saudara mara di kampung tidak henti-henti bertanya di manakah pengantin perempuan? Kenapa tidak dibawa pulang bersama? Rimas dengan pertanyaan demi pertanyaan, aku jemput oleh suami dan dibawa pulang ke kampung, 2 hari sebelum majlis persandingan.
Aku ketika itu, tidak begitu faham adat di pihak aku yang melarang pengantin perempuan untuk bertandang ke rumah mertua sebelum secara sahnya atau secara beradat aku diserahkan oleh kedua-dua orang tuaku kepada besannya. Sangkaku bila sudah sah menjadi isteri kepada suamiku, aku bebas untuk mengikut ke mana sahaja dia pergi.
Kedua-dua orang tuaku sangat marah, kecewa dan hampa dengan sikapku yang telah melanggar adat yang dipegang berabad-abad lamanya dan aku dikecap sebagai telah menconteng arang ke muka kedua orang tuaku. Melalui telefon kami melafazkan janji untuk segera pulang ke kampungku,sebaik sahaja selesai majlis khatam dan berinai di rumah pengantin lelaki yang telah diadakan pada malam sehari sebelum majlis persandingan atau majlis besar. Adikku telah ditugaskan untuk menjemput aku dan suami dan membawa pulang ke kampung sebaik sahaja majlis selesai. Nenek saudara suamiku menangis-nangis meratap tidak mahu melepaskan kami beredar jam 11.00 malam kerana bimbang darah manis pengantin. Kami tetap berkeras mahu bergerak pulang ke kampungku yang letaknya kira-kira 300km dari rumah mertua. Kami selamat tiba di kampungku saat embun jantan mula turun membasahi bumi. Kedua-dua tangan orang tuaku, kukucup memohon keampunan di atas keterlanjuran diri. Walaupun kemaafan telah diberi namun aku tahu hati mereka telah robek dengan tindakan kami.
Keesokan harinya kami dihantar dan diiringi dengan penuh adat istiadat oleh ibu bapa, adik beradik, saudara mara dan jiran tetangga ke rumah mertua. Sepohon bunga pohor dan sirih junjung dibawa bersama sebagai adat istiadat menghantar menantu (atau berundur).
Izinkanlah aku untuk meluah kehampaan yang bersarang dalam diri
1. Selepas setahun aku melahirkan anak pertama, aku dan suami menghantar rakan baikku (pengantin perempuan) 'berundur' ke rumah pengantin lelaki. Pengantin lelaki telah pulang terlebih dahulu bersendirian. kami tiba di rumah pengantin lelaki lewat malam dan di jemput minum di rumah pengantin lelaki sebelum dihantar ke rumah 'bersanggah'. Aku bergurau dengan rakanku menyuruh dia bermalam sahaja di rumah pengantin lelaki. Malam itu aku disindir oleh rakan baikku yang menyatakan ibu bapanya belum menyerahkan dia secara rasminya mana mungkin dia tidur di situ? Sungguh aku terpana dengan sindiran yang menusuk tajam ke hati. Ternyata arang yang kupalit ke muka orang tuaku masih segar di ingatannya lantaran kala aku berkahwin dulu, dialah pengapitku dan pada dialah tempat ibu menghamburkan rasa kecewa pada sikapku yang tidak beradab itu.
2. Selang beberapa tahun selepas kami mendirikan rumahtangga, adikku (lelaki) telah bernikah dan majlis di tempat perempuan telah selamat berlangsung. Belum pun tiba majlis di rumah sendiri, adik telah membawa isterinya pulang ke rumah. Terbit kekeliruan di hati, tidakkah pengantin perempuan itu akan menconteng arang di muka orang tuanya nanti? Nampaknya tidak, kerana tiada pula pihak keluarga pengantin perempuan yang menelefon dan mengarahkannya pulang ke rumah segera..
3. Ada juga adik-adik ipar yang lain, seusai majlis di rumah sendiri, terus mengikut suami pulang ke rumah mertua tanpa menunggu rombongan pengantin perempuan menghantar mereka. Nampaknya peredaran zaman juga sudah banyak merubah adat orang-orang lama.
Semoga boleh dijadikan renungan oleh adik-adik di luar sana yang masih belum berumahtangga. Fikir-fikirkanlah yang mana baik untuk kalian. Yang penting, jangan menconteng arang di muka orang tua kita... biar mati anak jangan mati adat!...
No comments:
Post a Comment