Thursday, May 31, 2012

37 tahun...

Alhamdulillah... satu lagi mimpiku menjadi kenyataan... Selama beberapa tahun kebelakangan ini, sudah berulang-ulang kali, ku suarakan kepada mr.hubby, mengajak en.suami mendaftar haji.. Namun, tiada jawapan yang diperolehi.. Yelah, orang lelaki ni, biasanya banyak timbang-taranya... Yang berlegar-legar di fikiran, pastilah "mana ada duit sebanyak tu nak pegi haji?", "bila masa nak kumpul duit, kalau tiap2 bulan pun cukup-cukup makan jer?", "ni anak2 nak sekolah, banyak belanja nie...".. "ni nak raya nie, banyak nak pakai duit...".., "ni kereta ni pulak, asyik mintak2 jer nie.. kejap-kejap penyakit aircon, kejap-kejap penyakit brake, ni tayar pun dah nak botak, kejap lagi mesti nak mintak ganti...", "ni rumah dah nak naik nie, macam2 nak kene bayar, duit architect lagi, duit lawyer lagi, duit tambak tanah lagi... nanti kalau dah siap, nak pikir nak beli lampu/kipas/gril, pasang kabinet dan mcm2 lagi..."... Perkiraan demi perkiraan pasti menghantui fikiran membuatkan impian dan keinginan ditolak ke tepi..

Semalam, selesai sahaja urusan 'check-up' di Hospital Batu Pahat, terus aku paksa-rela jer mr hubby, ajak dia ke Tabung Haji untuk daftar haji.. Takde discussion, takde timbang tara, kiraa paksa rela jer la nie... Alhamdulillah, suami bersetuju... Dan yang lebih manisnya, cadangan aku supaya masukkan sekali nama mak mertua diterima tanpa banyak soal jawab... Tidak mengapalah, walau pada hakikatnya sudah terlalu lewat untuk kami mendaftar, kerana jika mengikut giliran, 37 tahun lagi barulah tiba giliran kami iaitu di tahun 2049. Sekarang umur sudah 37 tahun, lagi 37 tahun sudah 74 tahun.. Ya Allah, kau panjanglah usia kami untuk menjejaki tanah sucimu Ya Allah... Kau lapangkanlah dan kau permudahkanlah, untuk kami menunaikan rukun Islam ke 5 itu dengan mudah Ya Allah...

TQ Allah kerana satu lagi mimpi yang disulam sudah dimakbulkan... Mudah2an selepas ini, Allah lowongkan kemudahan untuk pergi lebih awal dari yang dijangkakann, manalah tahukan? Aku sebagai hamba-Nya akan terus menyulam mimpi, berdoa dan berserah kepadaMu Ya Allah untuk mengatur apa yang terbaik buat kami.. Insya Allah...

Tuesday, May 29, 2012

Number One For Me

Alhamdulillah... Thanks Allah, aku dikurniakan suami dan anak2 yang sangat menyayangi dan memahamiku.. Sebiji kek, 3 keping kad, sekotak hadiah dan nyanyian lagu "Number One For Me" hampir membuatkan airmataku mengalir... Sudah 3 tahun berturut-turut, mr hubby tidak belikan aku apa-apa hadiah di hari lahirku.. Tahun ini, dia datang dengan satu kejutan besar. Benarlah kata orang, naluri suami pastinya tidak dapat dibohongi. Mr hubby tahu apa yang aku inginkan walaupun aku tidak pernah nyatakan padanya. Tahun ini, aku memang terlalu inginkan gelang tangan. Sepanjang 13 tahun berkahwin, tidak pernah walau seutas atau sebentuk barang kemas pun yang pernah dibelikannya. Aku pun tidak pernah minta, kerana bukanlah wang dan harta yang aku tagihkan. Cukuplah dengan kasih sayangnya serta sikap tanggungjawabnya pada keluarga, itu sudah cukup membuatkan kau bahagia.. Namun, dia tahu apa yang aku pendamkan di dalam hati dan aku sangat menghargainya. Seutas gelang tangan kini berkilau-kilau di pergelangan tangan. Thanks abang.. Bukan tebalnya atau beratnya yang dinilai, tapi kesungguhan abang merealisasikan mimpi-mimpi yang disulam saban tahun inilah yang amat menyentuh hati. Sukar nak diluahkan dengan kata-kata betapa aku amat terharu dengan pengorbanannya.. Ya Allah, kau limpahilah rezeki buat suamiku dan kau permudahkanlah urusannya Ya Allah... Saban hari aku melihat kesukaran dan dugaan yang melandanya.. Luruh hati ini bila satu persatu ujian datang.. Mujur sahaja dia punyai jiwa yang sungguh kental, yang tidak pernah kenal erti lelah dan putus asa. Moga Allah terus merahmati my beloved hubby.. Teruskan perjuangan yer bang, kami semua akan terus menyokong abang..

Wednesday, May 23, 2012

Bingkisan buat Ahmad Qamarul : Kelemahanmu, kekuatanmu...

Hari ini mummy-Iris nak cerita tentang si hero cilik Ahmad Qamarul...

Hari Ahad yang lalu (20/5/2012), Ahmad telah menyertai Pertandingan Badminton Tertutup dan Jemputan anjuran Parit Raja. Ini merupakan pertandingan pertama yang Ahmad sertai setelah lebih kurang tiga bulan berlatih dengan Jurulatih Profesional bernama Misbun (kebetulan sama pula nama dengan Dato' Misbun Sidek pulak yer..) Bermula 3 bulan yang lalu, setiap hari Isnin dan Jumaat, Ahmad akan mengikuti latihan badminton bermula jam 8 hingga 11 malam di bawah bimbingan Coach Misbun.

Selain daripada itu, Ahmad juga sering dilihat bermain 'shadow' di rumah... Kadang-kadang kita yang jadi rimas dengan tindak tanduknya yang tidak reti diam itu. Waktu senggang Ahmad pula, sering dipenuhi dengan memukul bola tangkis ke dinding.. Bayangkan, di awal pagi, sementara menanti ayah siap untuk menghantar mereka ke sekolah, pun dipenuhi dengan mengetuk dinding... Apatah lagi waktu senggang di antara jam 2.00  hingga 2.30 petang, pun Ahmad penuhi dengan mengetuk dinding..

Melihat prestasi Ahmad, coach Ahmad berasa yakin untuk menghantar Ahmad menyertai pertandingan. Semenjak mendaftarkan diri, setiap hari Ahmad akan berbicara mengenai keterujaan hatinya yang tidak sabar sabar menantikan hari pertandingan.  Di hari pertandingan, awal pagi lagi Ahmad sudah bangun. Sebaik sahaja membuka mata, Ahmad berteriak "yeaay..akhirnya harinya sampai jua..."hehe.. Ahmad.. Ahmad.. .

Sebelum melangkah meninggalkan rumah, Ahmad bersalaman dengan saya dan meminta saya mendoakan kejayaannya.. Saya titipkan doa, "Ya Allah, kau berikanlah kemenangan kepada anak kecil itu.. Yang sering memohon di dalam mimpi-mimpinya saban hari..."

Sejujurnya, saya dan En.Mus sememangnya tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada Ahmad. Jauh di lubuk hati berkata, mungkin pusingan pertama lagi, Ahmad sudah tewas berdasarkan beberapa teori berikut:-
1. Ahmad baru 3 bulan training, sedangkan peserta lain sudah banyak kali memasuki pertandingan. Ada yang pernah mewakili MSSJ dan sebagainya
2. Ahmad hanya berlatih 2 kali sahaja seminggu, sedangkan orang lain ada yang berlatih setiap hari.
3. Ahmad kuat makan, satu hari sampai 3-4 kali makan nasi. Stamina pun kurang.
4. Pukulan tangan Ahmad masih lemah, 'back-stroke' pun tak kuat.
5. Ahmad masih lemah main net. Dan banyak lagi kelemahan-kelemahan Ahmad yang memang kami sedari.

Tapi, syukur Alhamdulillah.. Allah mendengar bingkisan hati Ahmad. Kata Ahmad, Ahmad tidak putus-putus berdoa dan berselawat agar dipermudahkan dan diberi kemenangan dalam setiap perlawanan yang Ahmad tempuhi. Ternyata doa anak kecil yang masih bersih dan suci hatinya itu dimakbulkan Allah.

Perlawanan pertama Ahmad adalah menentang Alif Aiman, yang merupakan juara daerah Sri Gading. Ini merupakan perlawanan yang paling memberikan tekanan buat Ahmad. Lihat sahaja penyokong-penyokog Alif Aiman, hampir separuh dewan. Manakala penyokong Ahmad cuma 3 orang sahaja iaitu Ayah, Wan Ahmad dan jugak Kakak Nani.. Setiap kali Alif Aiman dapat mata, satu dewan bersorak gembira.. Bayangkan betapa tertekannya Ahmad di dalam gelanggang. Tapi, mulut bising Ayah dan Wan ternyata berjaya meniupkan semangat di jiwa Ahmad. Terpancar riak keriangan di hati Ahmad setiap kali Ahmad berjaya mendapatkan mata. Persaingan memang sangat sengit. Terdiam semua penyokong Alif Aiman bila Ahmad berjaya menewaskan Alif Aiman dengan mata 30 berbalas 26. Syukur Ahmad berjaya memberikan aksi terbaiknya di perlawanan pertama ini.
Perlawanan kedua Ahmad pula, menentang seorang gadis cilik kecil molek bernama Nasrah. Nasrah merupakan anak kepada Coach Misbun. Nasrah juga bukan calang-calang orangnya di mana Nasrah pernah mewakili pertandingan badminton sehingga ke peringkat MSSJ. Nasrah yang merupakan rakan se'jurulatih' Ahmad memang sering berlawan di setiap akhir latihan. Hampir setiap perlawanan yang menemukan Ahmad dengan Nasrah, Ahmad pasti memenangi perlawanan. Kerana itu, bila mendapat tahu Ahmad akan bertemu dengan Nasrah di pusingan kedua, di hati terbetik, "Insya Allah boleh menang Ahmad nie".. Dan ternyata, sekali lagi Allah mendengar doa anak kecil ini. Ahmad menang sengit dengan mata 30-20++ juga...
Memenangi pusingan kedua melayakkan Ahmad memasuki peringkat suku akhir... Kesyukuran tidak henti-henti dilafaz di dalam hati. Jauh di sudut hati berkata, di peringkat suku akhir ini, pasti Ahmad kecundang. Almaklumlah, lawannya nanti pasti hebat hebat belaka, sedangkan Ahmad langsung tiada pengalaman memasuki sebarang pertandingan badminton.  Ayah Ahmad awal-awal lagi sudah berpesan, walaupun Ahmad kalah di peringkat suku akhir, Ahmad tetap juara di hati Ayah kerana Ahmad sudah berjaya membuktikan kebolehan Ahmad sehingga ke peringkat suku akhir...

Di peringkat suku akhir ini, Ahmad menentang seorang peserta India yang kecil molek tetapi ketangkasan tangannya juga boleh tahan pantasnya.. Namun, nampaknya Ahmad menang mudah di pusingan kali ini.. Mata yang diperolehi 30 berbalas belas-belas sahaja.  Kemenangan di peringkat sukur akhir ini melayakkan Ahmad mara ke peringkat separuh akhir!... Satu pencapaian yang langsung tidak kami jangkakan... Syukur....syukur...syukur Ya Allah di atas kurniaan yang tidak terhingga ini....

Perlawanan yang paling menghampakan sudah tentulah di peringkat separuh akhir di mana Ahmad perlu bertarung dengan Juara Bertahan Tahun 2011. Peserta ini berusia 12 tahun dan mempunyai pengalaman yang luas di dalam arena badminton.., sudah berkali-kali menjuarai pelbagai kejohanan, dan kemahiran bermain badmintonnya juga setanding dengan peserta berusia 15 tahun...

Jauh di sudut hati, kami semua tidak yakin Ahmad boleh memenangi perlawanan kali ini. Banyak kata-kata negatif yang singgah di telinga Ahmad... "Budak itu terror main tau Mat..." "Budak tu Juara Bertahan tau Mat".. "Budak tu, ayah dia ada court badminton tau Mat.. Hari-hari dia berlatih main badminton kat court ayah dia.." Ditambah pula, sejurus sebelum memasuki gelanggang, Coach Misbun berpesan "budak tu suka main smash tau Mat.. Pantang dapat bola tinggi, dia mesti smash!".. Perkataan demi perkataan yang ditelan Ahmad, membuatkan Ahmad hilang keyakinan diri dan sentiasa berfikiran negatif. Ahmad seolah-olah tidak berupaya melawan apa sahaja bulu tangkis yang datang kepada Ahmad. Mungkin Ahmad terlalu berhati-hati tidak mahu menghantar bola tinggi kerana takut di'smash' oleh pihak lawan, maka Ahmad cuba bermain net. Malangnya kemahiran Ahmad bermain net, memang sangat lemah. Dengan mudah, Ahmad ditewaskan oleh penyandang juara 2011 ini.

Walaupun Ahmad teruk di'titik' oleh this chinese boy, namun Ahmad tetap JUARA di hati kami. Ahmad berupaya menyerlahkan bakatnya walaupun ini kali pertama memasuki pertandingan. Bayangkan budak sementah Ahmad, yang baru sahaja berjinak-jinak dengan arena badminton, baru pertama kali masuk bertanding, sudah boleh sampai ke peringkat separuh akhir. Kami semua amat berbangga dengan pencapaian Ahmad... Syukur.. Syukur... Syukur Ya Allah di atas nikmat yang kau kurniakan ini...

Apa yang boleh saya simpulkan di sini.... Sedari kecil, Ahmad memang merupakan seorang anak yang lasak. Dia sangat aktif, sehingga boleh dikategorikan sebagai hiper-aktif.  Sesaat pun, Ahmad tidak pandai duduk diam, tak reti-reti penat... Di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa sahaja. Diamnya hanya waktu tidur sahaja. Sejak kecil, memang kami selalu pening mahu menangani sikap Ahmad yang hiper-aktif ini.  Mak dia ni dah macam tarzan dah, kalau menjerit marahkan Ahmad, namun begitu jugalah sikapnya sehingga besar. Rupa-rupanya di sebalik keaktifannya itu, di sebalik hiper-aktifnya itu, Allah menganugerahkan Ahmad satu kelebihan, iaitu kelebihan 'tidak tahu penat'.. Dengan keaktifan dan sikap tidak tahu penat itulah yang mendorong kepada kejayaan Ahmad... Allah anugerahkan dia satu kuasa dalaman untuk bertarung dan berjuang tanpa mengenal istilah penat atau putus asa. Dan, satu lagi sikap Ahmad yang memang ketara dari kecil adalah sikap tidak mahu kalah!..

Rupa-rupanya di sebalik sikap-sikap negatif Ahmad ini (lasak, aktif, tak reti penat, tak mahu kalah), Allah jadikannya sebagai kelebihan/kekuatan di satu sudut yang lain pula... Jika dahulu, kami sebagai ibu-bapa yang mendidik dan membesarkan Ahmad, sering melafazkan rasa kecewa dengan sikap-sikap negatif Ahmad, namun sekarang barulah kami membuka mata dan menyedari untuk apa dan mengapa Allah menganugerahkan Ahmad dengan sikap begitu... Kerana sikap sebegitulah yang perlu ada di dalam sebuah perjuangan... Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui setiap apa ketentuan yang telah ditetapkan... Kita sebagai hamba-Nya perlu sentiasa redha dan bersyukur dengan setiap kurniaan..

Ya Allah.. betapa sejuknya perut ini mengandungkan Ahmad.. Kecil-kecil lagi sudah membanggakan ibu dan ayah serta ahli keluarga yang lain.. Semoga Ahmad akan terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburinya... Setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing, ada yang cemerlang di dalam pelajaran, ada yang cemerlang di dalam ko-kurikulum, ada juga yang cemerlang di dalam kemahiran dan kekreatifan.. Apa pun bidang yang diceburi, pastikan sahaja anak-anak kita masih berada di landasan yang sebenar.. Kita sebagai ibu bapalah yang perlu memandu arah anak-anak kita ke jalan yang benar. Semoga Allah sentiasa merahmati perjalanan hidup kita ini... Insya Allah....

Ahmad ~ you are my hero!! Keep up your hard work! Never give up and always give your best!!!

Wednesday, May 16, 2012

Ditelan mati mak, diluah mati bapak...

Aku selalu dilanda dilema ditelan mati mak, diluah mati bapak... Nak ditegur, pasti melenting.. Kalau tak ditegur, bukan setakat kita jer yang sakit hati, orang2 di sekeliling kita pun terlibat sama.. Orang ni mengadu macam ni, orang tu mengadu macam tu.. Nak jer buat bodoh, malas nak masuk campur, tapi..., sampai kiamat pun masalah takkan selesai.. Setiap hari atau setiap minggu atau setiap bulan, pasti akan ada sahaja aduan... haish..kdg2 malas nak layan, tapi kadang2 rasa sakit hati.. grrrrr...apa nak buat yer... Sudahnya telan dalam-dalam, Istighfar banyak-banyak, maafkan sahaja kesalahan orang itu dengan tenang serta senyuman.. 


Semalam terbaca ayat-ayat ini di wall facebook seorang rakan... 
As salamu'alaikum shbt yg d kasihi. 
Ramai org yg mudah tegur org, tapi melenting bila di tegur. 
Petua terima teguran ialah:
1. Ingat yg Allah tegur kita melalui teguran org 
2. Syukur sbb tanpa teguran sukar utk kita berubah 
3. Lapang dada & terima dgn tenang 
4. Nilai & kaji teguran 
5. Tanya jika tak jelas 
6. Minta nasihat ttg punca masalah kita 
7. Minta nasihat ttg alternatif penyelesaian 
8. Minta tunjuk contoh yg boleh d teladani 
9. Mohon maaf atas kesilapan & ucap TQ 
10. Mohon d doakan agar dpt atasi masalah 
11. Segera bertindak & tawakkal kpd Allah. 
Moga Allah rahmati kita semua. Kongsikanlah jika sudi. Wassalam. 
~Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah~

Rasa macam nak jer post kat wall sendiri... Tapi, kejap lagi mesti gunung berapi pecah meletop bila ada orang terasa dengan kata2 ni... Kalau rasa nak gaduh, anytime boleh jer kot nak post.. tapi, kalau fikir panjang, fikir dalam-dalam, buat apa nak keruhkan keadaan kan?... 


Sangat setuju dengan kata-kata Dato', "ramai orang yang mudah tegur orang, tapi melenting bila ditegur".. Dato' dah bagi tips untuk menerima teguran.. Bagaimana pula tips untuk menegur orang yang cepat melenting bila ditegur?


Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam lingkaran hidup berkeluarga.. Malahan dalam pekerjaan seharian pun, pasti akan ada masalah sebegini... Kadangkala kita bukanlah mahu berlagak menunjukkan kita ni bagus sangat, atau pandai sangat atau alim sangat.. Tapi kita menegur kerana kita sayang, kita menegur kerana kita tidak suka dengan sesuatu perkara itu.  Tapi, jika teguran kita sering dipandang serong, seolah-olah kita benci sangat pada orang yang ditegur, seolah-olah besar sangat kesalahan orang itu, apa lagi yang boleh kita buat untuk memastikan hubungan sentiasa harmoni? Sudahnya, ambil pendekatan berdiam diri lebih baik dari bersuara, dan terpaksa telan semua kepahitan walaupun pedihnya di ulu hati bagai dihiris-hiris sembilu... Bak kata seorang sahabat, kolom sampai muntah... Itu sahaja jalan terbaik yang kita ada, buat masa ini... 


Setiap malam sebelum tidur, maafkanlah orang-orang yang telah menyakiti hati kita sepanjang hari ini, dan sedekahkanlah Al-Fatihah untuk mereka.. Manalah tahu, malam itu merupakan malam terakhir kita, tidak sempat untuk kita memohon maaf dari mereka pula nanti...





Sunday, May 13, 2012

The Avengers at MBO BP Mall

Hari Sabtu & Ahad, Mr Hubby sangat bz dgn urusan maha pentingnya... Namun petang Ahad itu, syukur Mr Hubby sudi luangkan masa bersama anak-anak menonton filem The Avengers di MBO BP Mall...

Kali ini, outing kami cukup meriah kerana disertai oleh 6 orang dewasa dan 15 orang kanak-kanak!!... Wow! Ternyata ukhwah sewaktu berada di tanah Inggeris berpanjangan hingga ke bumi Malaysia.  Rentetan dari perkelahan di Hutan Lipur Gunung Belumut Ulu Denga, kini berpanjangan ke panggung wayang pula. Keluarga dari London, Leeds, Birmingham, Liverpool dan Nottingham mewakili hampir keseluruhan England.. Kalau ada keluarga Munzilah dari Southampton dan Azizi dari Sheffields, pasti lengkaplah kelompok besar ini hehe..

Sementara menanti waktu tayangan jam 3.10 petang, semua anak-anak dibawa ke surau BP Mall untuk menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu..

Selesai menonton The Avengers, Mr Hubby dengan senang hati melayan Iris main kereta kontrol.. We've been trying to spend the precious hours with the children even in very short time.. Anak-anak memang dah lama tak diajak berjalan-jalan.. Bagi chance kat derang sebelum nak memerah keringat untuk berdepan dengan peperiksaan next week...

Thursday, May 10, 2012

Sunan Musafir

Sunan Musafir : buah tangan terbaru penulis kegemaran saya Ramlee Awang Murshid, novelis thriller no.1 Malaysia merupakan episod perpisahan kepada pengembaraan Laksamana Sunan di dalam koleksi novel-novel Bagaikan Puteri (2005), Cinta Sang Ratu (2008), Hijab Sang Pencinta (2009), Cinta Sufi (2010) dan Sutera Bidadari (2011)..

Edisi terhad berkulit keras ini dijual dengan harga RM33 (harga asal RM35) pada 5 Mei 2012 di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC dan khabarnya cuma dicetak sebanyak 500 naskhah sahaja. Sewaktu mengunjungi PWTC pada 2 Mei 2012, saya sendiri ada bertanyakan petugas di Karangkraf mengenai novel Sunan Musafir ini. Sunan Musafir edisi kulit keras akan dijual pada 5 Mei (Sabtu). Mujurlah ada sahabat yang tinggal di Kuala Lumpur sanggup beratur panjang untuk kami demi mendapatkan Sunan Musafir edisi terhad ini. Khabarnya sahabat itu beratur selama sejam dan setiap orang dihadkan membeli dua buah buku sahaja!!!... Semoga Allah merahmati sahabat itu... Thanks sahabat... :)
Edisi terhad kulit keras ini datang dengan cenderamata istimewa
~ kalendar 2013, poskad dan penanda buku...~

Catatan yang dipetik dari facebook Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid...
Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC)

28 April 2012
Terlebih dahulu kami memohon maaf atas kekeliruan atau salah faham yang timbul. Kami di RAMFC cuba info hampir tepat namun kami hanya manusia biasa, tidak akan lari dari kesilapan mahupun kesilapan bukan datang dari kami. Namun kami memohon maaf atas segala kekurangan.Dinaikkan semula info hampir lengkap untuk memudahkan tuan & puan memahami:
1. Atas desakan ramai, Sunan Musafir menjengah jua di PBAKL dalam cetakan terhad 1000 naskhah dalam edisi kulit keras pada harga RM33.00 sahaja. Hanya akan berada pada penghujung Pesta Buku nanti. Sila jengah Karangkraf Mall di Dewan Tun Dr Ismail nanti untuk mendapatkannya.
2. RAMFC tidak akan mengambil tempahan untuk edisi kulit keras ini kerana cetakan yang terhad. Tempahan melalui RAMFC hanya untuk kulit biasa yang akan dicetak kemudian oleh penerbit. Tarikh untuk keluaran cetakan untuk kulit biasa akan diberitahu kelak.
3.Untuk makluman, Tuan Ramlee Awang Murshid akan berada di Pesta Buku untuk Sesi Temu Mesra Penulis pada 1, 4, 5 & 6 Mei sahaja.Masa akan diumumkan kemudian.
4. Tiada pelancaran diadakan.
Harap maklum dan jelas.


Bila melihat gambar-gambar yang di'upload' di facebook RAMFC, saya nampak macam ada edisi bukan kulit keras yang dijual. Saya pun tak pasti sebenarnya.. Mungkin GBK (Grup Buku Karangkraf) ada buat  sedikit cetakan khas untuk PABKL agaknya.. Entahlah, itu hanya andaian saya sahaja.

Ini pula posting yang masih panas... baru malam tadi dihantar

Berita Gembira dari pihak GBK - SUNAN MUSAFIR dijadualkan akan masuk kilang percetakan selepas 21hb Mei. Pihak KELABRAM akan berusaha memastikan mereka yang telah membuat TEMPAHAN AWAL akan memiliki naskah hebat ini berserta tandatangan RAM seawal selesai cetak dikilang. Ya, panas dari kilang ! ~ Abang Long. Pengurus Edaran KELABRAM.


Peminat-peminat karya RAM boleh membuat tempahan melalaui Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC).. Insya Allah, saya akan masukkan info itu di sini bila dah jumpa cari.. Pernah satu ketika dulu, saya ada terbaca tapi, bila dicari-cari tak terjumpa pulak...:)


Dan, khabarnya juga Ramlee Awang Murshid berada di PABKL pada 1,4,5 & 6 Mei 2012... Haish! kenapalah 2hb Mei tu, dia takde???? hmmmm takde rezeki lagi tahun ni nak jumpa novelis kesayangan hamba tu huhu...

"Apabila kita ingin mati di jalan ALLAH, maka pilihan terbaik adalah terus hidup di jalan ALLAH"

Wednesday, May 9, 2012

Birthday Celebration : Ahmad Qamarul (4 Mei) dan Ayah (8 Mei)

Pejam celik pejam celik... Dah bertambah setahun lagi usia anakanda Ahmad Qamarul... Rasanya macam baru semalam jer buat posting pasal birthday Ahmad dan hari ini, detik itu datang lagi...

Tahun ini, saya sangat-sangat bz, tidak sempat untuk aturkan sebarang majlis untuk Ahmad.. Rutin tahunan membawakan goodies untuk rakan-rakan sekolah Ahmad juga tidak mampu kulunaskan... Jadual saya bermula 1 Mei sudah padat.. 1 Mei-berkelah di Gunung Belumut... 2 Mei ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC.. 3 Mei pula perjalanan padat dari Parit Raja-Batu Pahat-Peserai-Parit Sulong-Parit Raja sebaik sahaja tamat waktu kerja jam 5 petang dan berakhir jam 12 tengah malam.

Niat di hati, mungkin hari Sabtu atau Ahad bolehlah buat makan-makan sikit, panggil kawan-kawan datang, atau paling tidak pun, majlis kecil dibuat di Parit Sulong, potong-potong kek dan makan-makan sambil sambil celebrate birthday Mak Andak Ahmad dan juga Ayah Ahmad yang jatuh pada 5 dan 8 Mei ini...

Tetapi, ternyata di fikiran anak kecil itu, sambutan di luar dari tarikh sebenar adalah bukan sambutan yang sebenar-benar sambutan.. Sudah tiada keterujaan di hati untuk mengadakan sebarang parti atau majlis. Dan, tanpa diduga juga, tiba-tiba Atuk dan Wan Ahmad muncul di hadapan pagar Taman Robena sekitar jam 5 petang bersama 2 orang makcik Ahmad untuk meraikan hari kelahiran Ahmad...
Birthday boy bersama Ayah, Wan dan Adik

Birthday boy bersama kakak, adik, mak andak dan mak usu

Birthday boy bersama Atuk & Adik

Pelan ringkas tiba-tiba diatur, sebiji kek segera dibeli dan malam itu selepas maghrib, kami putuskan untuk makan malam di luar. Lebih manis lagi, Izan yang kebetulan ada urusan di UTHM juga turut join simple celebration malam itu....
Birthday boy bersama Auntie Izan dan adik...
ternyata setiap kali abang bergambar adik pun nak menyelit sama!hehe


8 Mei 2012
Yang ini pula, gambar-gambar di sekitar sambutan ulangtahun kelahiran ke 37 Encik Kanda...ngeee^_^
Kejutan di pagi hari... Ayah turun tangga jer, nak hantar anak2 ke sekolah, kakak dan Abang dah ready nyanyikan lagu happy birthday untuk ayah...
Pelukan kasih sayang dari birthday boy utk anak2 pengarang jantung
Senyum lebar disulam perasaan suspen, apa yer dalam kotak sony yang besar nie...^_^



Malamnya, kami keluar makan di Polka Dot Steambot & Buffet, di Pura Kencana... Ya Allah Ya Ampuuun, banyaknya makanan, banyaknya pilihan siap dengan dessert seperti aiskrim, nata de coco dan juga buah2an...

Acara sambutan tidak berakhir di Polka Dot sahaja, malahan bersambung pula di rumah.. Acara potong-potong kek... Sajer jer nak melayan si IRis yang suka sangat nyanyikan lagu happy birthday dan nak bagi dia suka suki, dapat potong kek... jom layaaaaaaaaaan....



Ok, berakhir sudah sambutan 8 Mei... Encik Kanda nampak gembira dengan hadiah birthdaynya tahun ini... Lepas ni kita tunggu sambutan birthday Ibu pada 29 Mei pula yer... Apa agaknya kejutan tahun ini yer??




Wednesday, May 2, 2012

Pesta Buku Antarabangsa di PWTC

Saban tahun, diari bulan April saya pasti diisi dengan kunjungan ke PWTC untuk meninjau-ninjau pesta buku terbesar di Malaysia yang tahun ini jatuh pada tanggal  27 April - 6 Mei 2012.

Sebagaimana biasa juga, Pejabat Penerbit UTHM akan mengaturkan lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa yang dikhaskan kepada staf bukan akademik. Sebanyak 2 bas disediakan pada tahun ini.

Jadual perjalanan ke PWTC memang sangat padat...

7.45 pagi : berkumpul di Dataran Anggerik

8.30 pagi : bas mula bergerak meninggalkan kawasan UTHM
amalan tahun2 sebelumnya : 9.00 pagi berhenti breakfast di Jentayu, Air Hitam... tapi tahun ini kami memujuk abang driver untuk berhenti rehat di Pagoh sahaja.

8.45 pagi : bas berhenti di Petronas untuk isi minyak

10.00 pagi : berhenti di R&R Pagoh untuk sarapan pagi... Malangnya, kawasan R&R Pagoh sedang dalam proses pembersihan premis.. Kami hanya dapat membeli biskut dan air kotak sahaja untuk mengalas perut.

11.00 pagi : berhenti breakfast merangkap lunch (brunch) di R&R Air Keroh

1.15 petang : tiba di PWTC

1.30 petang : mula merayau mencari buku


2.30 petang : berhenti makan dan solat

3.30 petang : sambung merayau

4.30 petang : berhenti merayau dan mula bergerak ke arah tempat menunggu bas berhadapan The Mall

Jika ditolak waktu makan dan solat, sebenarnya kami cuma ada masa selama 2-2 1/2 jam sahaja untuk merayau dari satu booth ke satu booth.. Saya selalu tidak cukup masa untuk membeli belah. Bagi saya 3 jam yang diperuntukkan amat tidak berbaloi untuk meneroka keseluruhan kawasan pameran yang sungguh besar dan 3 tingkat pula tu!...

Apa boleh buat, kami jauh di selatan, ikut pula rombongan cik kiah.. kenalah ikut masa yang telah ditetapkan. Nak pergi sendiri, memang tak sampailah.. Encik abang kita pasti taknak layan punya kan.. Yang peliknya, saya tak pernah sempat masa nak round semua booth, tapi ramai la pulak yang ada masa merayau ke The Mall.. Sempat ke mereka borong buku dan shopping sekaligus yer?

Hasil tangkapan tahun ini..hehe

Tuesday, May 1, 2012

Hutan Lipur Gunung Belumut, Kluang



Di Malaysia, sambutan Hari Pekerja disambut pada 1 Mei. Tahun ini, 1 Mei jatuh pada hari Selasa. En.Mus awal-awal lagi dah merancang percutian kami ke Hutan Lipur Gunung Belumut yang terletak di Felda Ulu Dengar, Kluang, Johor. Pada asalnya, Mus ajak 4-5 keluarga untuk turut serta, namun di akhir kata putus, hanya satu keluarga sahaja yang berkesempatan untuk turut serta iaitu keluarga Haziman/Kak Kam...
Keluarga MusLaily & Keluarga Haziman/Kak Kam...
Amacam? Nampak macam party tupperware tak?haha
Perjalanan dari Parit Raja ke Gunung Berlumut memakan masa sekitar 1 jam 15 minit dengan jarak sekitar 60km sahaja.


Ketika kami tiba sekitar jam 9.30 pagi, pengunjung sudah mula memenuhi kawasan perkelahan, kereta pun terpaksa diparkir di luar kawasan meletak kenderaan yang telah disediakan, iaitu di sekitar kawasan ladang peneroka. Mujur juga tidak terlalu jauh dari pintu masuk.
Seronok berborak dengan Kak Kam.. Kami berbual tentang banyak perkara... Tentang perbezaan hidup di UK dan di Malaysia, tentang 'wanita dan diet', tentang persekolahan anak2 dan macam2 kisah lagi...hehe

Anak-anak nampak seronok dapat berendam dan main air.. Tapi, kesian jugak.. Cetek jer airnya.. Takde peluang untuk si kakak dan si Ahmad nak berenang.. Nak naik ke atas lagi, macam tak sanggup pulak rasanya melihatkan lautan manusia yang bertali arus masuk tanpa henti...
Selesai makan tengahari, kami berkemas-kemas untuk pulang... Keluar sahaja dari kawasan perkelahan, saya tak sangka, ratusan kenderaan sudah berderet-deret memarkir kenderaan di sepanjang jalan ladang. Laluan yang memang sempit dan muat untuk satu kereta itu, menjadi bertambah sempit dengan adanya kereta-kereta yang diparking di sepanjang laluan. Yang lebih mengeruhkan keadaan ialah, di situlah laluan masuk, di situ jugalah laluan keluar untuk kenderaan yang keluar masuk. Pengunjung yang baru datang juga, terpaksa memarkir kenderaan mereka sejauh hampir 3km dari kawasan perkelahan. 

Walaubagaimanapun, kesimpulan kepada percutian dan perkelahan kali ini, tidak mengecewakan. Anak-anak seronok, saya pun seronok dapat berehat dari kerja-kerja dobi, walaupun pagi itu, seawal jam 5 pagi saya sudah bangun untuk menyiapkan bekalan. Saya rasa, berkelah di Gunung Belumut ni berbaloilah juga, sebab tempatnya tidak terlalu jauh dari rumah kami. Cuma, bila jatuh hari kelepasan begini, memang terlalu ramai pengunjung yang datang, membuatkan kita rasa tidak begitu selesa untuk mandi manda. Mungkin, di lain kali, saya tidak akan memilih lagi tarikh 1 Mei untuk pergi berehat di air terjun!