Alhamdulillah setelah 5 bulan beroperasi, sambutan yang diterima daripada pelanggan semakin menggalakkan... Boss juga semakin tidak menang tangan, terpaksa berulang alik dari Parit Raja ke Parit Sulong untuk menghulurkan bantuan. Ada ketika, boss perlu turun padang juga, untuk memastikan kerja-kerja dilaksanakan dengan baik dan kualiti menjadi keutamaan.
Biasanya hujung minggu, pasti dipenuhi dengan aktiviti 'mendobi'.. Sesibuk manapun, akan dipastikan sekurang-kurangnya sehari perlu berada di kedai. Biasanya boss akan balik kampung pada hari Sabtu dan bekerja sepanjang malam sehingga awal pagi (biasanya 4-5 pagi)... Dan keesokan harinya, pulang semula ke Teratak Muslaily di Parit Raja untuk urusan di rumah sendiri pula.
Dan kebelakangan ini, weekday juga, boss akan turun padang untuk melihat perkembangan kedai di samping menyambung tugasan yang disempurnakan oleh Cik Puan Pengurus. Kebiasaannya, tamat sahaja waktu bekerja jam 5.00 petang, boss akan pecut gen2 JJJnya ke Parit Sulong dan mula bekerja sehingga jam 12 malam. Melelapkan mata barang seketika sebelum bangkit semula jam 5.00 pagi untuk menyambung saki baki tugas malam tadi. Dan selewat-lewatnya jam 7.00 pagi sudah bertolak ke UTHM untuk memainkan watak Setiausaha sebagaimana rutinnya pula..
Ada yang kata, kerja gila.. Ada yang kata, wanita besi... Ada juga yang kata, kenapa boss yang mesti buat kerja?.. Aku tidak pernah peduli dengan semua kata-kata itu. Yang aku tahu, aku puas dengan apa yang mampu kusumbangkan. Niatku hanya satu, menghulurkan sumbangan, mengurangkan bebanan, memberikan kesenangan, meleraikan kebebasan, menyiram api kemarahan dan apa-apa lain yang sewaktu dengannya.. Hati berbunga riang melihat semua sudah bersih dan wangi... Sambil berdoa di dalam hati, moga pelanggan berpuas hati dan lebih ramai lagi yang bertandang ke mari...
Masih segar di ingatan, sewaktu kedai baru beroperasi... Ramai yang menyuarakan kebimbangan "ada ke orang kampung yang nak hantar dobi kat situ?" atau "ada ke orang nak datang kedai dobi tu?" atau "sape la yang tau ada kedai dobi kat situ" atau "boleh hidup ke kedai dobi kat kampung?" Aku tidak pernah patah semangat dengan apa sahaja tutur bicara yang menyapa cuping telingaku... Kerana aku telah nekad dengan keputusanku... Aku ingin mengubah nasib dan hidup adik-adikku serta keluargaku. Kesenangan ini untuk mereka bukannya untuk aku secara totalnya... Walau mereka tidak pernah mengerti dan menghargai, aku juga tidak pernah mahu ambil peduli. Biarlah satu hari nanti Allah membukakan pintu hati mereka untuk mengerti nilai pengorbanan yang aku curahkan...
No comments:
Post a Comment