Thursday, December 16, 2010

Cukup Indah

Hari ini tiba-tiba setelah puluhan tahun, hati ini teringin untuk berbicara tentang karierku sebagai seorang Setiausaha. Kenangan dan pengalaman yang CUKUP INDAH untuk dikenang. Penuh dengan suka duka, hilai tawa dan tidak kurang juga cabarannya... Kuabadikan di sini untuk dikongsi bersama...

Selesai menamatkan pengajian di peringkat SPM, aku berusaha untuk memohon masuk ke universiti-universiti tempatan. Namun, oleh kerana keputusan yang kurang memuaskan ditambah pula dengan kecetekan ilmu, aku gagal diterima masuk ke mana-mana universiti. Membelek slip keputusan dan borang permohonan, mata tertumpu kepada Kursus Sains Kesetiausahaan yang ditawarkan oleh Politeknik.

Sejujurnya, kursus ini bukanlah pilihan utama. Bukan juga impian hati. Ianya hanyalah pelengkap kepada sebuah perjalanan selepas melepasi ranjau SPM. Aku perlu sambung belajar! Itu sahaja!...

"SEKSI"... itu pandangan pertama aku bila diajak berbicara tentang kerjaya ini. Namun bila menjejakkan kaki ke Politeknik dan melihat senior senior lain, ternyata tanggapan itu tidak benar. Hati melepaskan nafas kelegaan.

Aku bermula dengan momentum yang agak baik di awal semester. Matapelajaran yang paling aku gemari ialah TRENGKAS. Syukur aku sangat mudah menguasai setiap gurisan yang ada. Setiap hari aku melatih tangan mengguris perkataan untuk meningkatkan kemahiran. Dan, satu perkara yang paling aku banggakan, aku dapat mengajar rakan-rakan sekelas yang lain untuk sama-sama memahami konsep gurisan Trengkas Pitmen 2000.

Matapelajaran "Menaip" pula satu-satunya matapelajaran yang meletakkan kami agak ketinggalan di belakang berbanding rakan-rakan dari lepasan Vokasional. Bila kelas menaip, kita akan dapat mendengar ketukan jari mereka di atas kekunci mesin taip manual amat indah berlagu. Mana tidaknya... Rakan-rakan dari Sekolah Vokasional telah mengikuti latihan menaip selama 2 tahun, manakala kami masuk dengan zero!.. Tidak pernah ada asas menaip... Dulu, sewaktu menanti keputusan SRP, ada juga aku mengikuti Kelas Menaip di kampung, tapi hanya bertahan untuk beberapa minggu sahaja lantaran kesibukanku mencari wang tambahan semasa cuti sekolah. Memang begitulah rutin kehidupanku. Setiap kali cuti sekolah atau cuti semester, pasti aku mencari kerja sambilan untuk mencari duit poket kerana keluarganya bukanlah orang senang. Berbalik kepada cerita di Politeknik, masuk semester kedua, baru kami diberikan mesin taip elektronik untuk digunakan di dalam kelas menaip.

Perjalanan di awal karierku bukan indah sebagaimana diharapkan. Selesai tamat pengajian, aku pernah bekerja sebagai Kerani di kilang elektronik Mitsumi di Pt.Bilal, Batu Pahat sebelum mengorak langkah bekerja sebagai Setiausaha di sebuah syarikat perumahan di Johor Bahru. 2 tahun terumbang ambing di luar, aku akhirnya menjadi 'pekerja gomen' setelah berjaya melepasi temuduga untuk jawatan Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) di Universiti Teknologi Malaysia. Di sinilah ertikata bekerja sebenar bermula.

Terlalu banyak pengalaman yang kukutip di sini... Memulakan khidmat tanggal 1 Mei 1997 dengan jawatan bertaraf sementara sahaja. Menjawat jawatan tetap pada 12 November 1999 (Alhamdulillah... mungkin rezeki anak yang dikandung~Liyana Amnani) dan kemudiannya berhijrah ke UTHM tanggal 1 Disember 2004. Dalam kesibukan tugas-tugas seharian, aku mencuri-curi waktu untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah. 2 bulan selepas diijabkabulkan (1999), aku sah menjadi pelajar UUM yang memang menjadi universiti impianku sejak dari dulu lagi. Bukan mudah menjadi pelajar dalam masa yang sama juga kita perlu bekerja. Tanggungjawab yang sungguh besar kepada universiti, majikan, suami,anak-anak dan juga keluarga kedua-dua belah pihak... Namun syukur, walaupun terlalu besar dugaan dan berat bebanan yang ditanggung, Alhamdulillah aku telah berjaya menghabiskan pengajianku pada tahun 2005.

Apa tugas seorang Setiausaha sebenarnya? Mungkin ramai yang bertanggapan SETIAUSAHA adalah seorang yang seksi, suka bodek boss, kaki kipas, ada skandal dengan boss dan macam-macam lagi tanggapan negatif. Tugasku adalah untuk cuba menghilangkan persepsi itu!

Tugas Setiausaha biasanya ku bahagikan kepada 3 bahagian iaitu Pertama, tugas-tugas rasmi. Kedua, tugasan sampingan. Dan ketiga tugas tidak rasmi. Secara umumnya tugas-tugas rasmi seorang setiausaha adalah seperti mengatur temujanji boss, menguruskan pergerakan boss (tempahan tiket kapal terbang, hotel, kenderaan dan tuntutan), menguruskan mesyuarat dan penyediaan minit mesyuarat, menaip surat, menguruskan surat-surat masuk dan keluar serta lain-lain tugas yang diarahkan dari semasa ke semasa.

Tugasan sampingan bergantung juga kepada siapa bossnya atau di mana dia berkhidmat. Sebagai contoh, aku sekarang bertugas di Pejabat Antarabangsa. Maka, tugasku selain daripada menguruskan tugasan rasmi sedia ada, aku juga perlu menguruskan pelawat yang datang, atau menguruskan lawatan rasmi ke luar negara, atau menguruskan program pengantarabangsaan di universiti dan sebagainya. Ini berbeza dengan tugasku semasa bertugas di fakulti. Skop tugasku lebih kepada program akademik. Menguruskan kurikulum dan silabus, menguruskan hal ehwal ISO, menguruskan pengiktirafan program dan pelbagai lagi kerja-kerja akademik.

Manakala tugas tidak rasmi pula adalah menguruskan hal-hal peribadi boss. Antaranya membantu boss 'key-in' markah peperiksaan pelajarnya, atau fotostat soalan ujian, atau membayar bil-bil boss.

Aku suka ingin mengimbas pengalaman bekerja dengan beberapa orang ketua selama lebih 13 tahun berkhidmat di jabatan kerajaan...

Boss pertama : seorang Timbalan Pendaftar. Dia banyak ajar aku tentang "the dos and the don'ts in the workplace"... banyak mengajar aku erti kesabaran dan nilai titisan airmata...

Boss ke-2 : Timbalan Dekan (Penyelidikan). Bila aku ditawarkan jawatan tetap, aku perlu bertukar boss lain.. Mujur juga jawatan yang kosong tu, di fakulti yang sama... So, aku tak perlu pindah office, hanya bertukar boss sahaja... Namun, aku hanya sempat menjaga boss yang kedua ini dalam tempoh beberapa bulan sahaja, kerana boss telah dinaikkan pangkat.

Boss ke-3 : Timbalan Dekan (Penyelidikan)... Boss yang ni memang terkenal rajin bekerja... Pun tak lama di fakulti, sebab kepakarannya amat diperlukan di luar. Boss yang ketiga ini juga pernah mengunjungi kami di Nottingham.

Boss ke-4 : Timbalan Dekan (Akademik)... mula-mula macam nak menangis juga bila dapat arahan berpindah... Tapi, lama-kelamaan rasa seronok juga bertugas di Pejabat Akademik ni yer... Namun jodohku bersama boss ketiga ini juga tidak panjang, sebab boss telah dinaikkan pangkat sebagai Dekan fakulti yang baru... Dekan lama telah dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Naib Canselor (Pembangunan).

Boss ke-5 : Timbalan Dekan (Akademik)... Inilah boss yang paling aku sayang!!... Kami sama-sama bermula dari kosong... Tidak tahu apa-apa tentang Akademik, tidak tahu apa-apa tentang ISO. Expectation boss yang keempat ni memang sangat tinggi!... Dia mahu aku mahir semahir mahirnya mengenai ISO... Cabarannya kuterima!! Alhamdulillah, kami membina sekumpulan pasukan yang mantap di dalam pelaksanaan ISO di peringkat fakulti.

2001-2004 bukanlah satu tempoh yang pendek... Kami matang seiring bersama perkembangan fakulti... Setiap hari, jadualnya kususun... Saban hari, mesyuaratnya ku atur.. Bukan itu sahaja, setiap tahun tarikh-tarikh penting dalam hidup boss inipun aku yang akan ingatkan seperti tarikh lahir isteri, hari ulang tahun perkahwinan dan seumpamanya...

Dialah boss, dia jugalah kawan, dialah abang, dia juga ibarat pakcik... Dia juga kawan bergaduh... Ketika aku dan suami dalam persimpangan melalui ujian getir dalam hidup, dia datang membawa semangat... Mana mungkin kami sekeluarga melupakan budi yang ditabur.

Setelah berpindah ke UTHM pada Disember 2004, aku masih lagi menjadi setiausaha tidak rasminya untuk mengingatkan tarikh tarikh pentingnya itu, walaupun ketika aku berada jauh beribu batu dari tanah tumpah darahku, Malaysia... Sekelumit kekesalan pernah juga bertamu, kala setahun dua setelah pulang dari perantauan, aku sedikit alpa pada tugasanku.. Hinggakan dia ada menyebut di dalam satu mesyuarat yang dia terlupa bahawa hari itu merupakan hari ulangtahun perkahwinannya. "Biasanya Laily yang akan ingatkan saya"...

Sejak pulang dari perantauan, beberapa kali aku berusaha menghubunginya namun tidak berjaya... Pernah juga sekali dia hubungi aku, dan syukur aku dapat berbicara dengan isterinya Kak Zurina yang sangat-sangat aku rindui... Pelik,sungguh pelik!... Kedua-dua telefon bimbitnya cuba kuhubungi tapi tidak pernah berhasil!... Pernah juga aku terdengar dari 'kaki-kaki'ku di UTM sana, yang Kak Zue ada juga bertanyakan tentang diriku daripada staf staf senior...

Lebih kurang sebulan yang lalu, aku mimpikan kak Zue... Dalam mimpi itu, Kak Zue maklumkan yang dia dan boss akan ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan fardhu haji... Kata Kak Zue, terlalu banyak ujian Allah yang perlu mereka tempuhi dalam perjalanan menuju ke Tanah Suci itu... Keesokannya aku terus mendail kedua-dua nombor yang ada di dalam simpanan tapi tetap tidak berhasil... Tidak berupaya membendung kerisauan, aku cuba bertanya dengan rakan-rakan yang masih ada lagi di sana... Ya Allah, jawapan yang kuterima sungguh memeranjatkan!!!... Betapa besar kuasa Allah, siapa yang mampu menghalangnya?... Aku dimaklumkan bahawa boss dan isteri baru sahaja berlepas ke Tanah Suci. Maha Suci Allah, ini bukan mimpi mainan tidur tapi petunjuk dari Allah... Di hati, sedikit kesal kerana tidak sempat untuk mengucapkan selamat pergi kepada kedua-dua insan ini... Kupanjatkan doa dari jauh agar urusan mereka dipermudahkan di sana dan semoga beroleh Haji yang mabrur... Mungkin tak lama lagi, mereka akan kembali semula ke tanahair... aku pun tak pasti tarikh sebenar...

Boss ke-6 : merupakan boss pertama sejak aku berkhidmat di UTHM... seorang wanita... mujur kami agak se'kepala' kerana kami sama-sama berasal dari UTM... rajin bekerja hingga lewat petang atau malam menyebabkan jadual harianku juga turut bertukar... boss wanita ini juga pernah melawat kami sewaktu kami berada di Nottingham pada tahun 2007.

Boss ke-7 & 8: pulang dari cuti tanpa gaji, aku dihantar berkhidmat semula di fakulti yang sama... dan perlu menjaga 2 orang boss... Tidak sukar menjaga kedua-dua orang boss yang tidak banyak kerenah seperti mereka berdua... Syukur Alhamdulillah...

Boss ke-9 : baru 7 bulan berkhidmat di fakulti, aku mendapat surat arahan pertukaran dari pihak atasan. Aku diarahkan berpindah ke Pejabat Antarabangsa dan dikehendaki menjaga Pengarah. Syukur... aku sungguh seronok dengan berita ini... Bukan kerana aku tidak suka berada di fakulti, bukan juga kerana aku tidak boleh bekerja dengan kedua-dua boss ini. Tapi, aku inginkan suasana yang baru kerana aku telah berada di fakulti hampir 10 tahun rasanya... Jadi, aku merasakan adalah amat wajar untuk aku beralih angin... "its about time" orang putih kata...

Di sini, hari ini, walaupun cabaran bertugas di Pejabat Antarabangsa ini bukanlah mudah, tapi aku 'enjoy' dengan tugas-tugas baruku... Walaupun kadang-kala sakit kepala dengan kerenah birokrasi pelbagai pihak tapi aku senang menguruskan kerja-kerjaku di sini... Staf di sini cuma 8 orang dan semua staf mudah memberikan kerjasama. Kami bekerja bersama-sama, menguruskan banyak perkara bersama-sama dan menyelesaikan masalah juga bersama-sama... Aku sangat senang dengan ahli pasukanku di sini... Seronok... itu sahaja yang boleh diluahkan setakat ini...

Boss yang baru ini pun sangat-sangat OK... mudah diajak berbicara, mudah berunding, mudah berurusan dan mudah menerima pandangan...

Ya Allah Ya Tuhanku, kau peliharakanlah keharmonian di pejabat ini... Kau permudahkanlah segala urusan kami... Kami bukan yang terbaik tapi kami akan sentiasa cuba untuk memberikan yang terbaik yang mampu kami berikan... Insya Allah...

No comments:

Post a Comment