Tuesday, December 28, 2010

Seminggu yang padat!!!

Hari ini... Selasa 28 Disember 2010
Tak terasa hari sudah beredar ke minggu berikutnya... Terasa baru semalam kutinggalkan hari Selasa...

Trip ke Phnom Penh dan Ho Chi Minh City telah selamat berangkat kesemua kumpulan... Selagi belum berangkat, selagi itulah bebanan tugas masih mengasak-asak minda... Suami pula tiada di rumah mulai 20 - 23 Disember 2010 kerana mengikuti Latihan PALAPES di hutan berhampiran Felda Kahang, Kluang.

Minggu lalu... Isnin 20 Disember 2010
Sepanjang hari Isnin, Selasa dan Rabu minggu lepas, aku dan rakan-rakan di pejabat masih terus-terusan menguruskan trip tersebut. Apa tidaknya, hari Isnin pagi, boss masih lagi menerima arahan terbaru dari 'boss punya boss'... Selesai menurunkan arahan, kami segera bertindak menghubungi agen untuk perubahan jadual dan nama pegawai. Petang Isnin, semua pegawai dapat dikumpulkan untuk taklimat trip.

Sebelum masuk ke pejabat pagi ini, aku sebenarnya sempat juga mencari sedikit bahan mentah sebagai persediaan sekiranya keluarga kak Cahaya jadi singgah ke rumah kami petang itu. Namun rupa-rupanya juadah yang sudah kusiapkan pagi sebelum bertolak ke tempat kerja, menjadi rezeki adik-adik ipar yang datang secara mengejut! Mereka rupa-rupanya datang ke UTHM untuk menyaksikan pertandingan Debat Diraja..

Dalam kesibukan menguruskan trip, sempat juga aku berlari pulang ke rumah tengahari itu untuk memasak serba sedikit juadah tambahan untuk adik-adik ipar.. Mujur, pembantuku di rumah amat cekap. Semua peralatan sudah disediakan, tinggal menunggu masa untuk ditumis sahaja!!!... Makasih ya bibik!!!

Petang Isnin itu juga kami ke Landmark Hotel untuk urusan persediaan program Pelancaran keesokan malamnya. Ballroom OK, PA System OK, backdrop OK, table setting OK, food OK... Syukur... Selesai urusan di luar jam 9 malam, singgah sebentar di kedai runcit, mencari tambahan bekalan mentah untuk persiapan memasak masakan untuk anak-anak. Menjelang tengah malam siaplah satu menu untuk anak-anak esok hari..

Minggu lalu... Selasa 21 Disember 2010
Sepanjang hari Selasa, otak tidak henti henti bekerja untuk urusan Majlis Makan Malam sempena Pelancaran Kelab Budaya dan Bahasa Jepun. Tentatif OK, ucapan OK, emcee OK, persembahan OK, montaj OK... syukur...

Arahan terkini untuk trip ke Phnom Penh dan HCMC : tambah satu nama... dan buat replacement untuk 2 nama terawal... Bererti tambahan beban di saat akhir... Walau mengeluh kerisauan, namun tugas tetap dilaksanakan. Prinsipku hanya satu, tiada alasan untuk berkata TIDAK... Sehabis usaha dan daya akan kuperjuangkan untuk merealisasikan arahan.

Majlis malam itu berjalan dengan lancar walaupun ada hati yang tercalar... Kami sebagai urusetia rasa tercalar bila ada di kalangan AJK yang dilantik tidak dapat tempat duduk... Terbit kekeliruan di hati, dari mana datangnya 'crowd' yang melebihi jangkaan sedangkan tiada dalam senarai jemputan?? Hingga akhirnya kami dipersalahkan! Tiada langsung penghargaan!... Mujur boss byk memberi semangat dan memujuk, that's was not our fault!!...

Minggu lalu...Rabu 22 Disember 2010
Ini hari terakhir untuk aku menguruskan trip ke Phnom Penh dan Ho Chi Minh City... Malam ini aku harus berangkat ke Negeri Cik Siti Wan Kembang untuk satu program yang dipanggil U-Assist Networking anjuran Universiti Malaysia Kelantan. Hati sudah berdebar-debar kerisauan.. Tiket belum boleh dikeluarkan, kenderaan baru sahaja ditempah, hanya boleh tahu detail seawal-awalnya pada hari Jumaat.

Waktu rehat tengahari harus kukorbankan untuk pulang ke rumah dan masak untuk anak-anak yang akan ditinggalkan selama 2 hari.. Sekurang2nya 2 menu perlu di'frozen'kan dan satu menu perlu disediakan untuk bekalan hari ini. Syukur sekali lagi, perancangan berjalan lancar. Walaupun keringat memercik, namun hati berbunga riang.

Petang beranjak, waktu kian suntuk... Arahan terbaru diterima... Mohon disedikan anggaran peruntukan untuk kumpulan yang ke HCMC... Biarpun agak berat kerana sebut harga belum pun diperolehi tapi diusahakan juga mengikut kemampuan yang ada...

6.30 petang berlari meninggalkan pejabat dengan debar di dada.. Sempat lagikah untuk aku menyediakan satu menu lagi untuk bekalan pekerja-pekerja yang akan datang pasang awning rumah esok hari?? Sempat atau tidak, aku harus lakukan juga. Singgah sebentar di pasaraya untuk membeli bekalan nugget, fries, daging burger dan roti untuk anak2, berkejar balik ke rumah dan masak!!!

Jarum jam hampir menunjukkan ke angka 8 tatkala aku selesai menyiapkan diri. Beg pakaian OK, masak OK,solat OK, persiapan diri OK... Syukur...

Malam itu, sekitar jam 8.45 malam bas bertolak meninggalkan UTHM menuju ke Kota Bharu

Minggu lalu...Khamis 23 Disember 2010
Program U-Assist Networking anjuran Universiti Malaysia Kelantan berlangsung...
Walaupun baru tiba di Kota Bharu sekitar jam 7.30 pagi, namun kehangatan program ini tidak langsung memudarkan semangat kami yang masih keletihan lantaran perjalanan yang panjang malam tadi. Tahniah kepada urusetia UMK!!! Moga jalinan ini akan diteruskan di masa-masa akan datang!

Minggu lalu...Jumaat 24 Disember 2010
Masih di Kota Bharu, Kelantan.. dibawa bersiar-siar (membeli belah) sekitar Pasar Siti Khadijah, Nordin Batik dan juga Rantau Panjang. Kesempatan berharga ini kugunakan untuk membeli keropok ikan, Kain Telekung dan kain ela (Pasar Siti Khadijah), Baju Batik (Nordin Batik) dan juga Narita/bedsheet (Rantau Panjang).

Selesai membeli belah petang itu, kami segerombolan dibawa ke kediaman Dato' NC UMK yang baru sahaja siap pembinaannya. Dihidangkan dengan juadah minum petang tradisional masyarakat Kelantan yang sungguh membuka selera!!!

Pulang ke hotel untuk bersiap-siap mengemaskan barang-barang. Usai makan malam di sebuah restoran terkemuka di Kota Bharu (Four Seasons Restaurant), kami bertolak meninggalkan Kota Bharu. Otak letih, badan pun letih, namun tidak mampu untuk tidur selesa di dalam bas. Berusaha memejamkan mata sehinggalah fajar mula menyingsing dan kami berhenti seketika di Masjid Cha'ah Segamat untuk menyembahkan diri kepada Allah, Tuhan pencipta sekalian alam...

Minggu lalu...Sabtu 25 Disember 2010
home sweet home at 8.30am...

Jam 11 pagi bergegas bertolak ke Kota Tinggi untuk menghadiri Majlis Perkahwinan anak kepada sepupu suami... Malamnya menggagahkan diri untuk mencari baju sekolah anak-anak di bandar Kota. Syukur, sebahagian peralatan dapat dibeli... Sebahagian lagi, akan disambung lagi di Parit Raja atau Batu Pahat pula..

Minggu lalu...Ahad 26 Disember 2010
Usai sarapan pagi yang hampir menjejak makan tengahari, kami bertolak balik ke Parit Raja untuk menghadiri satu lagi majlis kenduri kawin jiran berhampiran rumah.

Minggu ini...semalam Isnin 27 Disember 2010
memasang telinga mendengar laporan dan keluhan rakan-rakan yang baik hati menyambung tugasku sepanjang hari Khamis dan Jumaat lepas. Kasihan mereka. Sejujurnya, aku tidak begitu senang jika tidak melaksanakan tugasku sehingga selesai. Perasaan bersalah sering menghimpit jika melepaskan beban kepada rakan-rakan untuk meneruskan tugasanku sendiri. Namun, apakan daya, perjalanan ke UMK juga merupakan tuntutan tugas yang perlu dipenuhi, walaupun kedengarannya seakan-akan pergi untuk bersiar-siar. Mujur rakan-rakan seperjuangan berhati mulia bersama-sama meleraikan kekusutan.

Malam tadi... Rayyan Fantasi karya terbaru Ramlee Awang Murshid tiba ke noktah terakhir... 4 hari juga diperuntukkan untuk menghabiskan bacaan. Rayyan Fantasi ternyata membawa aku berlari jauh ke alam fantasi yang tidak terjangkau dek akal fikiran manusia. Makhluk asing yang mempunyai teknologi yang jauh lebih tinggi dari manusia tetapi pada fikiranku seakan berada di satu alam ghaib yang tidak terjangkau dek mata halus manusia biasa. Terpulanglah pada pandangan masing-masing! Yang pasti, bak kata Ramlee "apa yang terfikir... itu ada!"

SINOPSIS Rayyan Fantasi oleh Ramlee Awang Murshid
RAHSIA susur galur Aiddin sengaja dirahsiakan oleh ayahnya, Ibrahim. Justeru… dia memiliki sebuah keluarga yang bahagia. Bagaimanapun kehidupan manusianya yang gembira dan ceria, tercalar apabila disahkan menghidap barah otak tahap empat. Doktor meramalkan Aiddin hanya mampu hidup dalam tempoh yang sangat singkat. Jiwanya terganggu dan sejak itu, Aiddin suka bersendirian.

Aiddin yang berduka cita ditenteramkan oleh tunangnya, Feena yang berjanji akan setia pada ikatan cinta mereka. Impian terakhir sebelum kematian meragut kehidupannya adalah untuk mendaki Gunung Kinabalu. Impian itu terlaksana, tetapi Aiddin hilang di kawasan hutan pergunungan. Selepas lima tahun berlalu, Aiddin muncul semula di kawasan tersebut. Sejak itu, beberapa siri pembunuhan ngeri berlaku. Manakala Aiddin sendiri sering mendengar bisikan suara perempuan.

RAMLEE AWANG MURSHID berjaya mewujudkan sebuah rahsia dalam lingkaran saspens, seram dan misteri dalam novel ini. Faktor cinta pula adalah pengikat, tetapi tidak semestinya tersimpul mati. Rayyan Fantasi merupakan genre yang berbeza dalam karya Ramlee kali ini. Ketika membaca novel ini, pastikan di sekeliling anda adalah realiti kerana fantasi begitu bijak menipu fikiran.

No comments:

Post a Comment