Friday, December 31, 2010

Penghujung Tahun 2010

Hari terakhir di penghujung tahun 2010
Mengimbau 365 yang telah dilalui
Mimpi-mimpi indah yang menjadi realiti
Impian yang menjadi nyata
Matlamat yang mencapai sasaran
atau
omong omong kosong yang bertaburan
hajat yang tidak kesampaian
cita-cita yang tidak tercapai...

Imbasan sasaran terbesar tahun 2010...

Perniagaan serai...
setelah dua kali penanaman, nampak gaya penanaman kali kedua tampak lebih memberangsangkan berbanding tuaian kali pertama. Dengan pelbagai masalah persekitaran seperti kemarau yang panjang serta faktor tanah yang tidak begitu subur, penanaman musim kedua tampak lebih segar.. Itupun setelah dibaja berkali-kali. Kos baja nampaknya lebih besar untuk penanaman kali ini. Kebimbangan tetap terbit di hati melihat kos baja yang meningkat mendadak. Bimbang hasil jualan kelak belum mampu untuk menampung kos pembajaan. Kasihan kepada bapa mertua yang mengusahakan kebun tanpa mengenal penat dan jerih, tanpa gaji tanpa ganjaran.. Itu yang paling dibimbangkan...

Perniagaan dobi...
paling menyedihkan... dah dimulakan separuh jalan... bangunan telah siap dibina.. Kasihan kepada ayahanda yang membina sendiri bangunan kedai itu... walaupun tidak begitu sihat, walaupun tidak begitu berupaya namun tetap menggagahkan diri bagi merealisasikan impian anak-anak..

Kedai Dobi ini sebenarnya untuk diusahakan oleh adikku Lenny Suhana. Aku telah memperuntukkan sejumlah RM30K untuk projek ini. Namun, seseorang telah meminjam wang tersebut untuk menyelamatkan perniagaannya. Alhamdulillah, perniagaannya telah selamat dan kini berkembang maju... Aku masih menanti dan menanti... Sudah setahun berlalu, namun janji untuk memulangkan kembali wang yang dipinjam masih belum tertunai... Walaupun setiap bulan bayaran ansuran tidak pernah tertangguh, namun aku masih mengharapkan 30K itu untuk menggerakkan perniagaanku pula!

Pembinaan rumah...
hajat untuk mendiami rumah sendiri di tahun 2010 ternyata tidak juga terlaksana... Urusan pembinaan rumah ini sebenarnya tidaklah sukar. Lebih-lebih lagi dengan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Urusan pembelian tanah telah selesai sejak Ogos 2009. Selesai urusan pembelian tanah, kami mula melantik perunding untuk membuat pelan rumah. Urusan kelulusan pelan juga telah selesai pada bulan April 2010. Proses terakhir sebenarnya hanyalah isi borang permohonan pinjaman perumahan dan lantik kontraktor. Tapi, proses itulah yang belum terlaksana atas beberapa faktor berikut :-

1. Nilaian rumah : setelah melalui beberapa proses perubahan, nilaian rumah telah meningkat naik dan melebihi kelayakan pinjaman Mus. Bukan masalah besar, kerana kami boleh menggabungkan pinjaman. Tapi, kalau boleh aku ingin menggunakan kelayakanku untuk membeli asetku sendiri, tidak perlu berkongsi aset dengan Mus. Untuk penyelesaian masalah pertama ini, kami perlu bersabar, menunggu beberapa bulan lagi untuk menggunakan kelayakan pinjaman yang baru, yang bakal dikuatkuasakan pada tahun 2011 ini.

2. Lokasi rumah : lokasi rumah yang agak terdedah dengan kawasan banjir juga melambatkan proses membuat keputusan. Sewaktu memutuskan untuk membeli tanah tersebut, bukan kami tidak menimbangkan faktor ini. Namun saat ini, faktor itulah yang kian sarat bermain di fikiran...

Dalam puluhan mimpi-mimpi indah, banyak juga yang telah menjadi nyata... Syukur ke hadrat Allah yang melimpahi hamba-Nya dengan nikmat yang tiada taranya... Bila merenung kembali, terasa betapa kerdilnya diri berbanding nikmat yang Allah kurniakan.. Aku perlu lebih mensyukuri nikmat yang dikurniakan... Apalah sangat dengan 3 impian yang belum terlaksana berbanding dengan puluhan yang lain yang telah dikecapi... Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita, kita hanya boleh merancang, berusaha dan berdoa... Namun, ketentuannya hanya Allah yang tahu...

Thursday, December 30, 2010

Kemenangan milik kita!

Hari terakhir bekerja di tahun 2010
Esok diisytiharkan cuti untuk seluruh rakyat Malaysia
Tahniah di atas kemenangan skuad bola sepak negara
Yang meraih kemenangan di Piala Suzuki
Menggondol gelaran juara setelah menewaskan Indonesia
Perlawanan pertama menyaksikan kemenangan 3-0 di Malaysia
Perlawanan kedua kalah 1-2 di Indonesia
Namun kemenangan mutlak berdasarkan kiraan mata nyata milik Malaysia
Tahniah!
Tahniah!
Tahniah!

Wednesday, December 29, 2010

Finally the time has come...

Yang ditunggu dah tiba...
Gembira ada...
Debar pun ada...
Hati berbisik...
Mampukah aku menaklukinya...
Berikan aku sedikit masa...
Untuk bermesra dan bermanja dengannya...
Sedikit penghargaan untuk diri sendiri...

Tuesday, December 28, 2010

Seminggu yang padat!!!

Hari ini... Selasa 28 Disember 2010
Tak terasa hari sudah beredar ke minggu berikutnya... Terasa baru semalam kutinggalkan hari Selasa...

Trip ke Phnom Penh dan Ho Chi Minh City telah selamat berangkat kesemua kumpulan... Selagi belum berangkat, selagi itulah bebanan tugas masih mengasak-asak minda... Suami pula tiada di rumah mulai 20 - 23 Disember 2010 kerana mengikuti Latihan PALAPES di hutan berhampiran Felda Kahang, Kluang.

Minggu lalu... Isnin 20 Disember 2010
Sepanjang hari Isnin, Selasa dan Rabu minggu lepas, aku dan rakan-rakan di pejabat masih terus-terusan menguruskan trip tersebut. Apa tidaknya, hari Isnin pagi, boss masih lagi menerima arahan terbaru dari 'boss punya boss'... Selesai menurunkan arahan, kami segera bertindak menghubungi agen untuk perubahan jadual dan nama pegawai. Petang Isnin, semua pegawai dapat dikumpulkan untuk taklimat trip.

Sebelum masuk ke pejabat pagi ini, aku sebenarnya sempat juga mencari sedikit bahan mentah sebagai persediaan sekiranya keluarga kak Cahaya jadi singgah ke rumah kami petang itu. Namun rupa-rupanya juadah yang sudah kusiapkan pagi sebelum bertolak ke tempat kerja, menjadi rezeki adik-adik ipar yang datang secara mengejut! Mereka rupa-rupanya datang ke UTHM untuk menyaksikan pertandingan Debat Diraja..

Dalam kesibukan menguruskan trip, sempat juga aku berlari pulang ke rumah tengahari itu untuk memasak serba sedikit juadah tambahan untuk adik-adik ipar.. Mujur, pembantuku di rumah amat cekap. Semua peralatan sudah disediakan, tinggal menunggu masa untuk ditumis sahaja!!!... Makasih ya bibik!!!

Petang Isnin itu juga kami ke Landmark Hotel untuk urusan persediaan program Pelancaran keesokan malamnya. Ballroom OK, PA System OK, backdrop OK, table setting OK, food OK... Syukur... Selesai urusan di luar jam 9 malam, singgah sebentar di kedai runcit, mencari tambahan bekalan mentah untuk persiapan memasak masakan untuk anak-anak. Menjelang tengah malam siaplah satu menu untuk anak-anak esok hari..

Minggu lalu... Selasa 21 Disember 2010
Sepanjang hari Selasa, otak tidak henti henti bekerja untuk urusan Majlis Makan Malam sempena Pelancaran Kelab Budaya dan Bahasa Jepun. Tentatif OK, ucapan OK, emcee OK, persembahan OK, montaj OK... syukur...

Arahan terkini untuk trip ke Phnom Penh dan HCMC : tambah satu nama... dan buat replacement untuk 2 nama terawal... Bererti tambahan beban di saat akhir... Walau mengeluh kerisauan, namun tugas tetap dilaksanakan. Prinsipku hanya satu, tiada alasan untuk berkata TIDAK... Sehabis usaha dan daya akan kuperjuangkan untuk merealisasikan arahan.

Majlis malam itu berjalan dengan lancar walaupun ada hati yang tercalar... Kami sebagai urusetia rasa tercalar bila ada di kalangan AJK yang dilantik tidak dapat tempat duduk... Terbit kekeliruan di hati, dari mana datangnya 'crowd' yang melebihi jangkaan sedangkan tiada dalam senarai jemputan?? Hingga akhirnya kami dipersalahkan! Tiada langsung penghargaan!... Mujur boss byk memberi semangat dan memujuk, that's was not our fault!!...

Minggu lalu...Rabu 22 Disember 2010
Ini hari terakhir untuk aku menguruskan trip ke Phnom Penh dan Ho Chi Minh City... Malam ini aku harus berangkat ke Negeri Cik Siti Wan Kembang untuk satu program yang dipanggil U-Assist Networking anjuran Universiti Malaysia Kelantan. Hati sudah berdebar-debar kerisauan.. Tiket belum boleh dikeluarkan, kenderaan baru sahaja ditempah, hanya boleh tahu detail seawal-awalnya pada hari Jumaat.

Waktu rehat tengahari harus kukorbankan untuk pulang ke rumah dan masak untuk anak-anak yang akan ditinggalkan selama 2 hari.. Sekurang2nya 2 menu perlu di'frozen'kan dan satu menu perlu disediakan untuk bekalan hari ini. Syukur sekali lagi, perancangan berjalan lancar. Walaupun keringat memercik, namun hati berbunga riang.

Petang beranjak, waktu kian suntuk... Arahan terbaru diterima... Mohon disedikan anggaran peruntukan untuk kumpulan yang ke HCMC... Biarpun agak berat kerana sebut harga belum pun diperolehi tapi diusahakan juga mengikut kemampuan yang ada...

6.30 petang berlari meninggalkan pejabat dengan debar di dada.. Sempat lagikah untuk aku menyediakan satu menu lagi untuk bekalan pekerja-pekerja yang akan datang pasang awning rumah esok hari?? Sempat atau tidak, aku harus lakukan juga. Singgah sebentar di pasaraya untuk membeli bekalan nugget, fries, daging burger dan roti untuk anak2, berkejar balik ke rumah dan masak!!!

Jarum jam hampir menunjukkan ke angka 8 tatkala aku selesai menyiapkan diri. Beg pakaian OK, masak OK,solat OK, persiapan diri OK... Syukur...

Malam itu, sekitar jam 8.45 malam bas bertolak meninggalkan UTHM menuju ke Kota Bharu

Minggu lalu...Khamis 23 Disember 2010
Program U-Assist Networking anjuran Universiti Malaysia Kelantan berlangsung...
Walaupun baru tiba di Kota Bharu sekitar jam 7.30 pagi, namun kehangatan program ini tidak langsung memudarkan semangat kami yang masih keletihan lantaran perjalanan yang panjang malam tadi. Tahniah kepada urusetia UMK!!! Moga jalinan ini akan diteruskan di masa-masa akan datang!

Minggu lalu...Jumaat 24 Disember 2010
Masih di Kota Bharu, Kelantan.. dibawa bersiar-siar (membeli belah) sekitar Pasar Siti Khadijah, Nordin Batik dan juga Rantau Panjang. Kesempatan berharga ini kugunakan untuk membeli keropok ikan, Kain Telekung dan kain ela (Pasar Siti Khadijah), Baju Batik (Nordin Batik) dan juga Narita/bedsheet (Rantau Panjang).

Selesai membeli belah petang itu, kami segerombolan dibawa ke kediaman Dato' NC UMK yang baru sahaja siap pembinaannya. Dihidangkan dengan juadah minum petang tradisional masyarakat Kelantan yang sungguh membuka selera!!!

Pulang ke hotel untuk bersiap-siap mengemaskan barang-barang. Usai makan malam di sebuah restoran terkemuka di Kota Bharu (Four Seasons Restaurant), kami bertolak meninggalkan Kota Bharu. Otak letih, badan pun letih, namun tidak mampu untuk tidur selesa di dalam bas. Berusaha memejamkan mata sehinggalah fajar mula menyingsing dan kami berhenti seketika di Masjid Cha'ah Segamat untuk menyembahkan diri kepada Allah, Tuhan pencipta sekalian alam...

Minggu lalu...Sabtu 25 Disember 2010
home sweet home at 8.30am...

Jam 11 pagi bergegas bertolak ke Kota Tinggi untuk menghadiri Majlis Perkahwinan anak kepada sepupu suami... Malamnya menggagahkan diri untuk mencari baju sekolah anak-anak di bandar Kota. Syukur, sebahagian peralatan dapat dibeli... Sebahagian lagi, akan disambung lagi di Parit Raja atau Batu Pahat pula..

Minggu lalu...Ahad 26 Disember 2010
Usai sarapan pagi yang hampir menjejak makan tengahari, kami bertolak balik ke Parit Raja untuk menghadiri satu lagi majlis kenduri kawin jiran berhampiran rumah.

Minggu ini...semalam Isnin 27 Disember 2010
memasang telinga mendengar laporan dan keluhan rakan-rakan yang baik hati menyambung tugasku sepanjang hari Khamis dan Jumaat lepas. Kasihan mereka. Sejujurnya, aku tidak begitu senang jika tidak melaksanakan tugasku sehingga selesai. Perasaan bersalah sering menghimpit jika melepaskan beban kepada rakan-rakan untuk meneruskan tugasanku sendiri. Namun, apakan daya, perjalanan ke UMK juga merupakan tuntutan tugas yang perlu dipenuhi, walaupun kedengarannya seakan-akan pergi untuk bersiar-siar. Mujur rakan-rakan seperjuangan berhati mulia bersama-sama meleraikan kekusutan.

Malam tadi... Rayyan Fantasi karya terbaru Ramlee Awang Murshid tiba ke noktah terakhir... 4 hari juga diperuntukkan untuk menghabiskan bacaan. Rayyan Fantasi ternyata membawa aku berlari jauh ke alam fantasi yang tidak terjangkau dek akal fikiran manusia. Makhluk asing yang mempunyai teknologi yang jauh lebih tinggi dari manusia tetapi pada fikiranku seakan berada di satu alam ghaib yang tidak terjangkau dek mata halus manusia biasa. Terpulanglah pada pandangan masing-masing! Yang pasti, bak kata Ramlee "apa yang terfikir... itu ada!"

SINOPSIS Rayyan Fantasi oleh Ramlee Awang Murshid
RAHSIA susur galur Aiddin sengaja dirahsiakan oleh ayahnya, Ibrahim. Justeru… dia memiliki sebuah keluarga yang bahagia. Bagaimanapun kehidupan manusianya yang gembira dan ceria, tercalar apabila disahkan menghidap barah otak tahap empat. Doktor meramalkan Aiddin hanya mampu hidup dalam tempoh yang sangat singkat. Jiwanya terganggu dan sejak itu, Aiddin suka bersendirian.

Aiddin yang berduka cita ditenteramkan oleh tunangnya, Feena yang berjanji akan setia pada ikatan cinta mereka. Impian terakhir sebelum kematian meragut kehidupannya adalah untuk mendaki Gunung Kinabalu. Impian itu terlaksana, tetapi Aiddin hilang di kawasan hutan pergunungan. Selepas lima tahun berlalu, Aiddin muncul semula di kawasan tersebut. Sejak itu, beberapa siri pembunuhan ngeri berlaku. Manakala Aiddin sendiri sering mendengar bisikan suara perempuan.

RAMLEE AWANG MURSHID berjaya mewujudkan sebuah rahsia dalam lingkaran saspens, seram dan misteri dalam novel ini. Faktor cinta pula adalah pengikat, tetapi tidak semestinya tersimpul mati. Rayyan Fantasi merupakan genre yang berbeza dalam karya Ramlee kali ini. Ketika membaca novel ini, pastikan di sekeliling anda adalah realiti kerana fantasi begitu bijak menipu fikiran.

Monday, December 27, 2010

Masih dalam mood iPhone

Masih dalam mood Iphone hehehe...

dipetik dari blog ini http://nina165.blogspot.com/2010/12/iphone-3gs-vs-iphone-4.html
* The iPhone4 is capable of video calling while the 3Gs is not
* The iPhone4 has a better camera compared to the 3Gs
* The iPhone4 has better resolution than the 3Gs
* The iPhone4 supports 802.11n while the 3Gs does not
* The iPhone4 has a gyroscope while the 3Gs does not
* The iPhone4 is equipped with a more powerful processor and more memory than the 3Gs

dipetik dari blog ini http://www.xygroove.com/2010/06/oh-my-iphone-3gs-d.html
Aper yg best sgt pasal iPhone ek? siyes mcm aku ckp, bli iphone adalah karne bli jenama jek.. pastu rega mahal dan korang kene terima hakikat yg fungsi nyer agak terhad.. terhad?? yuppy.. ini katne iphone 3gs tak bleh wat video call, kamera 3MP yg xde flash, rakaman video yg xleh zoom dan bateri yg cepat abes.. almaklomlah skrin resolusi tinggi dan saiz skrin yg besar kan.. nasib baik laa bleh MMS kan.. so nanti bleh laa wat Live Blogging kan.. hehehe.. xlupa utk perhatian korang gak, ringtone yg ader dlm henpon jek yg bleh digunakan.. makna nyer xleh pki korang nyer lagu mp3 sendiri sbg ringtone.. sms tone pon mengalami masalah yg sama.. walaubagaimanapun, aku bleh cadangkan satu software lain kalu korang nak mp3 lagu kegemaran korang.. konpem menjadi nyer ringtone tuh. syarat nyer kene tempoh 30 saat jek.. ini link website dan software tuh.. sila download dan folo step nyer.. konpem korang happy.. hehehe..

Abestuh naper aku bli gak? maaf ckp ia adalah karne style nyer dan ke'glamer'an nyer laah.. hehehehe.. mcm style jek.. aper lagik? ofkos software interface nyer aku rase canggih dan cun... sms nyer plak mcm konsep kita chatting. bler tgk gambar plak, bleh zoom dengan menggunakan 2 jari utk membesarkan atau mengecilkan gambar.. style dowww... hehe.. bler taip sms plak, korang leh taip secara tegak ataupun landscape.. gambar2 dan video2 yg korang amek dan view melalui iphone nih korang akan dpt tgk dengan lebih cantik seperti high definition nyer kualiti gambar dan video... tp dgn syarat arr, masa korang capture tuh dlm keadaan cahaya yang cantik gak.. tidak dilupa, camera dier pon ader auto fokus taw..

Iphone juga memiliki fungsi iPod utk korang mendengar lagu kegemaran korang.. tp kerja2 nak syncronice dan update masok ke dlm iPhone agak leceh sket.. so sila faham step btol2 yerr.. hehehe.. masalah yg aku hadapi sampai skang adalah xleh tgk video melalui ipod tuh.. btw, stelah digodek2, aku letak playlist video dlm picture folder, sync dan kemudian bleh tgk video kat picture folder.. hehehe




iPhone 4 Reviewed by http://shiblivision.com/iphone-4-review/

Aku tak layak membuat review. Tapi macam biasa lepas aku beli sesuatu gadget, mesti member-member aku paksa buat jugak, boleh diorang consider untuk beli satu hari nanti. Tapi ada jugak yang bermulut longkang yang mengatakan aku menunjuk dan berlagak bila aku buat review macamni. Suka hati korang la nak pikir ape kan? Janji niat aku baik nak bagi kawan-kawan buat rujukan. Ok?

Apple buat pertama kalinya mengubah bentuk iPhone dengan sangat ketara. Kalau iPhone 3G dan 3GS mempunyai “curve back”, iPhone 4 pula “Flat” sepenuhnya. Design yang dulunya lebih kepada lengkungan kini 4 segi sepenuhnya. iPhone 4 sangat-sangat lah nipis. Apple cakap iPhone 4 ni adalah smartphone paling nipis dalam dunia. Betul ke tak? Mane aku tau. Hahaha. 1st time aku pegang iPhone ni, damn, jauh beza rasanya dengan yang dulu. Aku rasa yang dulu lebih sedap pegang dan lebih grip sebab melengkung. Tapi lepas main beberapa jam, dah familiar dan rasa best.

Button-button pada body iPhone 4 ni jugak dah banyak berubah terutamanya button volume. Kini button volume dah diasingkan dan agak bagus jugak sebab lagi senang nak tekan button tu berbanding dulu. Pasal simcard pulak, iPhone 4 tak boleh pakai simcard biasa. Kena guna Micro Sim atau simcard generasi baru yang 2x lebih kecil berbanding simcard biasa. Micro sim ni hanya boleh dibeli di Maxis Center buat masa ni dengan harga RM 25.00.

Isu “Death Grip” atau Antennagate yang kecoh baru-baru ini mengenai design iPhone 4 yang mempunyai masaalah nampaknya tak mengganggu langsung. Jenuh jugak lah aku try grip bermacam-macam cara, memang takde effect pun. Kalau grip seluruh badan iPhone tu dalam 10 saat, bar drop jugak lah 1-2 bar, tapi tak effect line atau boleh sampai drop call. So benda-benda “Death Grip” ni dekat Malaysia takde ape pon. No worries :)

Screen

Skrin iPhone 4 adalah skrin paling cantik yang aku pernah tengok. “Retina Display” yang Apple cakap, memang terbaik gila! Text-text kecil semuanya sharp, huruf-huruf masa tulis message pun jauh berbeza. 960×640 resolusi skrin, yang paling hebat dalam dunia smartphone, tiada tandingan! Superb! Aku tulis banyak-banyak pun tak guna sebab korang kena tengok sendiri betapa gorgeous nya skrin iPhone 4 nih. Sumpah tak tipu.

Performance

Well iPhone 4 mempunyai Processor A4 1Ghz, sama macam iPad. Tapi, RAM iPhone 4 adalah 512mb berbanding 256mb yang digunakan dalam iPad. So performance iPhone 4 ni tak payah cakap lah macamana dia punya laju dan smooth. Takde lag langsung. iPhone jugak support apps iMovie yang boleh edit video dan save kan dalam format HD, terima kasih kepada ram dan processor yang tinggi menyebabkan boleh edit dan export video tanpa lag.

Capture gambar menggunakan iPhone 4 sangat-sangatlah cepat! Klik je button capture terus dia save, tak macam 3GS dulu yang kena tunggu sekejap untuk capture. Jauh bezanya, bukan sikit.

Camera

Camera juga menjadi tarikan utama iPhone 4 selain Skrin. Dulu bila sembang bab camera, iPhone ni jadi bahan lawak je dengan quality 2 megapixel yang sucks. Apple berjaya mengubah semua tu. 5Megapixel AutoFocus, LED Flash, Full 720p HD 30FPS Video recording. Jauh beza kualitinya berbanding 3GS. Sangat jauh. Nanti aku tangkap beberapa gambar guna iPhone 4 aku dan post dalam blog ni.

Camera depan pula hanya sesuai untuk video calling (FaceTime). Kualiti camera depan tak lah cantik sangat, macam camera biasa-biasa je, sesuailah untuk function video calling tu.

Battery

Battery untuk iPhone 4 ni double daripada iPhone 3GS (Apple cakaplah) tapi dari apa yang aku guna, memang battery dia jauh lebih tahan berbanding 3GS. Boleh guna lasak-lasak main wifi, games 3-4 hari dengan sekali charge. Memang puas hati dengan battery iPhone 4 ni.

Patutkan Anda beli?

Jawapannya, sudah tentu lah YA!. Tapi, bukan sekarang. Harga sekarang masih agak tinggi. Tunggu Maxis akan lancarkan pada bulan September ni. Dan kalau anda mampu, beli terus yang 32gb, sebab Apps untuk iPhone 4 ni dalam format HD, so size lebih besar. Rakam video jugak akan makan space iPhone super-banyak. Jadi tak rugi bayar lebih 3-4ratus kalau betul-betul guna. Macam aku guna 16gb je lah sebab aku ni tak suka sangat tangkap gambar atau rakam-rakam ni, aku just surfing and main games je.

Friday, December 17, 2010

Time flies...

Tepu... muak... letih...
Beginilah kerja... Kadangkala 4,5 perkara datang serentak
Kadang kala, macam tak ada kerja sangat...
Minggu depan, 2 program akan berlangsung serentak
21/12 : Majlis Pelancaran Kelab Budaya & Bahasa Jepun
21 - 30/12 : Lawatan Kerja dan Program Khidmat Masyarakat di Phnom Penh Cambodia & Ho Chi Minh City.
kepala sudah pusing, sekejap buka fail Phnom Penh, sekejap lagi buka fail Pelancaran...
Untuk program pelancaran tak berapa susah hati sangat walaupun sebenarnya ada jugalah rasa susah hati...
Yang paling susah hati ni, program ke luar negara kerana melibatkan banyak perkara!!
Hari ini dah 17/12
Seawal 1/12 lagi, kami sepejabat dah mula uruskan lawatan kerja ke Cambodia dan Vietnam
Tapi baru hari ini kami dapat pengesahan nama-nama pegawai yang akan menyertai delegasi ini... (17 hari tu!!!!)
Pihak agen sudah 3 kali hantar sebutharga, masih ada lagi perubahan di saat akhir
Perjalanan pun rumit, banyak sangat kumpulannya
Ada yang pergi 21/12 balik 30/12
Ada yang pergi 26/12 balik 30/12
Ada yang pergi 27/12 balik 29/12
Ada yang pergi 27/12 balik 30/12
Cuma buat masa ini, tiada yang pergi tapi tak balik balik
OK, dari segi itenarari sudah selesai
Yang belum selesai sekarang adalah masalah tiket dan juga wang pendahuluan
Mujur rakan-rakan sepejabat banyak membantu
Masing-masing faham tugas masing-masing
So, aku uruskan itenarari mereka uruskan duit
Ada juga yang uruskan surat menyurat
Ada juga yang uruskan komunikasi dengan pihak Phomn Penh dan Ho Chi Minh City
Syukur...
Tiket masih belum boleh dibeli...
Perlu tunggu 'green light' dari Pejabat Pendaftar
Pejabat Pendaftar masih belum boleh beri 'green light' sebab nak tunggu Borang Lampiran A (Borang ini wajib diisi oleh semua pegawai yang ingin ke luar negara)
Borang Lampiran A pula masih belum boleh dihantar sebab nak tunggu Dato' NC sign...
Dato' NC pula belum boleh sign Borang Lampiran A sebab hari ini tiada di UTHM
So, Puan Laily...
there's nothing left you can do... Just wait and be calm until next Monday...
Maybe you can download some photos on your wall....
or maybe you can continue reading your "MIKHAIL" (Ramlee Awang Murshid's novel)
or maybe you can have a nap.... zzzzzzzzzzzz

Thursday, December 16, 2010

Cukup Indah

Hari ini tiba-tiba setelah puluhan tahun, hati ini teringin untuk berbicara tentang karierku sebagai seorang Setiausaha. Kenangan dan pengalaman yang CUKUP INDAH untuk dikenang. Penuh dengan suka duka, hilai tawa dan tidak kurang juga cabarannya... Kuabadikan di sini untuk dikongsi bersama...

Selesai menamatkan pengajian di peringkat SPM, aku berusaha untuk memohon masuk ke universiti-universiti tempatan. Namun, oleh kerana keputusan yang kurang memuaskan ditambah pula dengan kecetekan ilmu, aku gagal diterima masuk ke mana-mana universiti. Membelek slip keputusan dan borang permohonan, mata tertumpu kepada Kursus Sains Kesetiausahaan yang ditawarkan oleh Politeknik.

Sejujurnya, kursus ini bukanlah pilihan utama. Bukan juga impian hati. Ianya hanyalah pelengkap kepada sebuah perjalanan selepas melepasi ranjau SPM. Aku perlu sambung belajar! Itu sahaja!...

"SEKSI"... itu pandangan pertama aku bila diajak berbicara tentang kerjaya ini. Namun bila menjejakkan kaki ke Politeknik dan melihat senior senior lain, ternyata tanggapan itu tidak benar. Hati melepaskan nafas kelegaan.

Aku bermula dengan momentum yang agak baik di awal semester. Matapelajaran yang paling aku gemari ialah TRENGKAS. Syukur aku sangat mudah menguasai setiap gurisan yang ada. Setiap hari aku melatih tangan mengguris perkataan untuk meningkatkan kemahiran. Dan, satu perkara yang paling aku banggakan, aku dapat mengajar rakan-rakan sekelas yang lain untuk sama-sama memahami konsep gurisan Trengkas Pitmen 2000.

Matapelajaran "Menaip" pula satu-satunya matapelajaran yang meletakkan kami agak ketinggalan di belakang berbanding rakan-rakan dari lepasan Vokasional. Bila kelas menaip, kita akan dapat mendengar ketukan jari mereka di atas kekunci mesin taip manual amat indah berlagu. Mana tidaknya... Rakan-rakan dari Sekolah Vokasional telah mengikuti latihan menaip selama 2 tahun, manakala kami masuk dengan zero!.. Tidak pernah ada asas menaip... Dulu, sewaktu menanti keputusan SRP, ada juga aku mengikuti Kelas Menaip di kampung, tapi hanya bertahan untuk beberapa minggu sahaja lantaran kesibukanku mencari wang tambahan semasa cuti sekolah. Memang begitulah rutin kehidupanku. Setiap kali cuti sekolah atau cuti semester, pasti aku mencari kerja sambilan untuk mencari duit poket kerana keluarganya bukanlah orang senang. Berbalik kepada cerita di Politeknik, masuk semester kedua, baru kami diberikan mesin taip elektronik untuk digunakan di dalam kelas menaip.

Perjalanan di awal karierku bukan indah sebagaimana diharapkan. Selesai tamat pengajian, aku pernah bekerja sebagai Kerani di kilang elektronik Mitsumi di Pt.Bilal, Batu Pahat sebelum mengorak langkah bekerja sebagai Setiausaha di sebuah syarikat perumahan di Johor Bahru. 2 tahun terumbang ambing di luar, aku akhirnya menjadi 'pekerja gomen' setelah berjaya melepasi temuduga untuk jawatan Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) di Universiti Teknologi Malaysia. Di sinilah ertikata bekerja sebenar bermula.

Terlalu banyak pengalaman yang kukutip di sini... Memulakan khidmat tanggal 1 Mei 1997 dengan jawatan bertaraf sementara sahaja. Menjawat jawatan tetap pada 12 November 1999 (Alhamdulillah... mungkin rezeki anak yang dikandung~Liyana Amnani) dan kemudiannya berhijrah ke UTHM tanggal 1 Disember 2004. Dalam kesibukan tugas-tugas seharian, aku mencuri-curi waktu untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah. 2 bulan selepas diijabkabulkan (1999), aku sah menjadi pelajar UUM yang memang menjadi universiti impianku sejak dari dulu lagi. Bukan mudah menjadi pelajar dalam masa yang sama juga kita perlu bekerja. Tanggungjawab yang sungguh besar kepada universiti, majikan, suami,anak-anak dan juga keluarga kedua-dua belah pihak... Namun syukur, walaupun terlalu besar dugaan dan berat bebanan yang ditanggung, Alhamdulillah aku telah berjaya menghabiskan pengajianku pada tahun 2005.

Apa tugas seorang Setiausaha sebenarnya? Mungkin ramai yang bertanggapan SETIAUSAHA adalah seorang yang seksi, suka bodek boss, kaki kipas, ada skandal dengan boss dan macam-macam lagi tanggapan negatif. Tugasku adalah untuk cuba menghilangkan persepsi itu!

Tugas Setiausaha biasanya ku bahagikan kepada 3 bahagian iaitu Pertama, tugas-tugas rasmi. Kedua, tugasan sampingan. Dan ketiga tugas tidak rasmi. Secara umumnya tugas-tugas rasmi seorang setiausaha adalah seperti mengatur temujanji boss, menguruskan pergerakan boss (tempahan tiket kapal terbang, hotel, kenderaan dan tuntutan), menguruskan mesyuarat dan penyediaan minit mesyuarat, menaip surat, menguruskan surat-surat masuk dan keluar serta lain-lain tugas yang diarahkan dari semasa ke semasa.

Tugasan sampingan bergantung juga kepada siapa bossnya atau di mana dia berkhidmat. Sebagai contoh, aku sekarang bertugas di Pejabat Antarabangsa. Maka, tugasku selain daripada menguruskan tugasan rasmi sedia ada, aku juga perlu menguruskan pelawat yang datang, atau menguruskan lawatan rasmi ke luar negara, atau menguruskan program pengantarabangsaan di universiti dan sebagainya. Ini berbeza dengan tugasku semasa bertugas di fakulti. Skop tugasku lebih kepada program akademik. Menguruskan kurikulum dan silabus, menguruskan hal ehwal ISO, menguruskan pengiktirafan program dan pelbagai lagi kerja-kerja akademik.

Manakala tugas tidak rasmi pula adalah menguruskan hal-hal peribadi boss. Antaranya membantu boss 'key-in' markah peperiksaan pelajarnya, atau fotostat soalan ujian, atau membayar bil-bil boss.

Aku suka ingin mengimbas pengalaman bekerja dengan beberapa orang ketua selama lebih 13 tahun berkhidmat di jabatan kerajaan...

Boss pertama : seorang Timbalan Pendaftar. Dia banyak ajar aku tentang "the dos and the don'ts in the workplace"... banyak mengajar aku erti kesabaran dan nilai titisan airmata...

Boss ke-2 : Timbalan Dekan (Penyelidikan). Bila aku ditawarkan jawatan tetap, aku perlu bertukar boss lain.. Mujur juga jawatan yang kosong tu, di fakulti yang sama... So, aku tak perlu pindah office, hanya bertukar boss sahaja... Namun, aku hanya sempat menjaga boss yang kedua ini dalam tempoh beberapa bulan sahaja, kerana boss telah dinaikkan pangkat.

Boss ke-3 : Timbalan Dekan (Penyelidikan)... Boss yang ni memang terkenal rajin bekerja... Pun tak lama di fakulti, sebab kepakarannya amat diperlukan di luar. Boss yang ketiga ini juga pernah mengunjungi kami di Nottingham.

Boss ke-4 : Timbalan Dekan (Akademik)... mula-mula macam nak menangis juga bila dapat arahan berpindah... Tapi, lama-kelamaan rasa seronok juga bertugas di Pejabat Akademik ni yer... Namun jodohku bersama boss ketiga ini juga tidak panjang, sebab boss telah dinaikkan pangkat sebagai Dekan fakulti yang baru... Dekan lama telah dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Naib Canselor (Pembangunan).

Boss ke-5 : Timbalan Dekan (Akademik)... Inilah boss yang paling aku sayang!!... Kami sama-sama bermula dari kosong... Tidak tahu apa-apa tentang Akademik, tidak tahu apa-apa tentang ISO. Expectation boss yang keempat ni memang sangat tinggi!... Dia mahu aku mahir semahir mahirnya mengenai ISO... Cabarannya kuterima!! Alhamdulillah, kami membina sekumpulan pasukan yang mantap di dalam pelaksanaan ISO di peringkat fakulti.

2001-2004 bukanlah satu tempoh yang pendek... Kami matang seiring bersama perkembangan fakulti... Setiap hari, jadualnya kususun... Saban hari, mesyuaratnya ku atur.. Bukan itu sahaja, setiap tahun tarikh-tarikh penting dalam hidup boss inipun aku yang akan ingatkan seperti tarikh lahir isteri, hari ulang tahun perkahwinan dan seumpamanya...

Dialah boss, dia jugalah kawan, dialah abang, dia juga ibarat pakcik... Dia juga kawan bergaduh... Ketika aku dan suami dalam persimpangan melalui ujian getir dalam hidup, dia datang membawa semangat... Mana mungkin kami sekeluarga melupakan budi yang ditabur.

Setelah berpindah ke UTHM pada Disember 2004, aku masih lagi menjadi setiausaha tidak rasminya untuk mengingatkan tarikh tarikh pentingnya itu, walaupun ketika aku berada jauh beribu batu dari tanah tumpah darahku, Malaysia... Sekelumit kekesalan pernah juga bertamu, kala setahun dua setelah pulang dari perantauan, aku sedikit alpa pada tugasanku.. Hinggakan dia ada menyebut di dalam satu mesyuarat yang dia terlupa bahawa hari itu merupakan hari ulangtahun perkahwinannya. "Biasanya Laily yang akan ingatkan saya"...

Sejak pulang dari perantauan, beberapa kali aku berusaha menghubunginya namun tidak berjaya... Pernah juga sekali dia hubungi aku, dan syukur aku dapat berbicara dengan isterinya Kak Zurina yang sangat-sangat aku rindui... Pelik,sungguh pelik!... Kedua-dua telefon bimbitnya cuba kuhubungi tapi tidak pernah berhasil!... Pernah juga aku terdengar dari 'kaki-kaki'ku di UTM sana, yang Kak Zue ada juga bertanyakan tentang diriku daripada staf staf senior...

Lebih kurang sebulan yang lalu, aku mimpikan kak Zue... Dalam mimpi itu, Kak Zue maklumkan yang dia dan boss akan ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan fardhu haji... Kata Kak Zue, terlalu banyak ujian Allah yang perlu mereka tempuhi dalam perjalanan menuju ke Tanah Suci itu... Keesokannya aku terus mendail kedua-dua nombor yang ada di dalam simpanan tapi tetap tidak berhasil... Tidak berupaya membendung kerisauan, aku cuba bertanya dengan rakan-rakan yang masih ada lagi di sana... Ya Allah, jawapan yang kuterima sungguh memeranjatkan!!!... Betapa besar kuasa Allah, siapa yang mampu menghalangnya?... Aku dimaklumkan bahawa boss dan isteri baru sahaja berlepas ke Tanah Suci. Maha Suci Allah, ini bukan mimpi mainan tidur tapi petunjuk dari Allah... Di hati, sedikit kesal kerana tidak sempat untuk mengucapkan selamat pergi kepada kedua-dua insan ini... Kupanjatkan doa dari jauh agar urusan mereka dipermudahkan di sana dan semoga beroleh Haji yang mabrur... Mungkin tak lama lagi, mereka akan kembali semula ke tanahair... aku pun tak pasti tarikh sebenar...

Boss ke-6 : merupakan boss pertama sejak aku berkhidmat di UTHM... seorang wanita... mujur kami agak se'kepala' kerana kami sama-sama berasal dari UTM... rajin bekerja hingga lewat petang atau malam menyebabkan jadual harianku juga turut bertukar... boss wanita ini juga pernah melawat kami sewaktu kami berada di Nottingham pada tahun 2007.

Boss ke-7 & 8: pulang dari cuti tanpa gaji, aku dihantar berkhidmat semula di fakulti yang sama... dan perlu menjaga 2 orang boss... Tidak sukar menjaga kedua-dua orang boss yang tidak banyak kerenah seperti mereka berdua... Syukur Alhamdulillah...

Boss ke-9 : baru 7 bulan berkhidmat di fakulti, aku mendapat surat arahan pertukaran dari pihak atasan. Aku diarahkan berpindah ke Pejabat Antarabangsa dan dikehendaki menjaga Pengarah. Syukur... aku sungguh seronok dengan berita ini... Bukan kerana aku tidak suka berada di fakulti, bukan juga kerana aku tidak boleh bekerja dengan kedua-dua boss ini. Tapi, aku inginkan suasana yang baru kerana aku telah berada di fakulti hampir 10 tahun rasanya... Jadi, aku merasakan adalah amat wajar untuk aku beralih angin... "its about time" orang putih kata...

Di sini, hari ini, walaupun cabaran bertugas di Pejabat Antarabangsa ini bukanlah mudah, tapi aku 'enjoy' dengan tugas-tugas baruku... Walaupun kadang-kala sakit kepala dengan kerenah birokrasi pelbagai pihak tapi aku senang menguruskan kerja-kerjaku di sini... Staf di sini cuma 8 orang dan semua staf mudah memberikan kerjasama. Kami bekerja bersama-sama, menguruskan banyak perkara bersama-sama dan menyelesaikan masalah juga bersama-sama... Aku sangat senang dengan ahli pasukanku di sini... Seronok... itu sahaja yang boleh diluahkan setakat ini...

Boss yang baru ini pun sangat-sangat OK... mudah diajak berbicara, mudah berunding, mudah berurusan dan mudah menerima pandangan...

Ya Allah Ya Tuhanku, kau peliharakanlah keharmonian di pejabat ini... Kau permudahkanlah segala urusan kami... Kami bukan yang terbaik tapi kami akan sentiasa cuba untuk memberikan yang terbaik yang mampu kami berikan... Insya Allah...

Wednesday, December 15, 2010

School holiday has began!!!

4 Disember 2010 (Sabtu)

Oleh kerana Ayah akan mula sibuk dengan aktiviti PALAPES bermula 10 - 24 Disember 2010, jadi Ayah memutuskan untuk membawa kami ber'cuti-cuti Malysia' di Port Dickson dan Melaka.

11.00 pagi : menghadiri kenduri kahwin di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi

12.00 t/hari : bertolak ke Seri Menanti, Negeri Sembilan untuk menghadiri Majlis Persandingan pasangan Fazian dan Hisham...

4.00 petang : tiba di Seri Menanti (mujur tak kena basuh periuk...)tak sempat nak bergambar bersama pengantin lelaki, nampak dah naik kereta ntah kemana ntah...suasana kebun getah yang membuatkan aku merindui zaman kecilku di rumah nenek di Kg. Pt. Kemin, Air Hitam, Muar......5.30 petang : Mengunjungi Istana Seri Menanti... sungguh kagum dengan binaan istana ini yang tidak menggunakan walau sebatang paku pun...
6.30 petang : dalam perjalanan ke Port Dickson, mata kami tertumpu ke XXXXXXXXX (maaf terlupa pula namanya... nanti cari jap...) Anak-anak yang memang pantang melihat unsur-unsur air, merayu kepada Ayah untuk membenarkan mereka berendam barang seketika...
8.30 malam : tiba di rumah Pak Itam di Port Dickson... Perjalanan yang agak mencabar kerana Negeri Sembilan bukan satu kawasan yang biasa kami lawati.. Lebih-lebih lagi setelah hampir belasan tahun aku tidak lagi mengunjungi daerah Port Dickson ini... Ternyata kemajuan dan teknologi begitu cepat berkembang... Sudah ada lebuhraya yang menghubungkan terus Seremban dan Port Dickson dengan bayaran hanya RM3.20.Malam itu, kami sempat ke pasar malam untuk mencari bahan masakan untuk esok hari. Aku plan nak masak nasi lemak untuk bekalan kami ke pantai.

5 Disember 2010 (Ahad)
Pagi : aktiviti mandi laut di Pantai Port Dickson
Petang : melawat Muzium Tentera Darat Port DicksonKeluar dari Muzium, ternyata Iris sungguh keletihan. Jarak dari muzium ke rumah Pak Itam, hanyalah lebih kurang 5 minit perjalanan sahaja, namun Iris sudah tertidur dengan nyenyaknya. Sementara menanti Iris bangun, kami dihidangkan dengan jamuan petang oleh Pak Itam sekeluarga..anak-anak Pak Itam sedang membantu Ibu di dapur menyediakan minum petang kami.

Malam : kami ke Jusco Seremban untuk aku menjalani terapi mindaku...

6 Disember 2010 (Isnin)
Pengalaman merantau di negara orang, membuatkan kami terbiasa dengan amalan membawa bekal setiap kali keluar bercuti. Dahulu, sewaktu di UK, amalan membawa bekalan sebenarnya berikutan masalah sukar mendapatkan makanan halal di perjalanan menyebabkan kami sentiasa bersedia dengan bekalan makanan yang telah di'frozen'kan. Dan pagi ini, seawal jam 5.00 pagi kami telah bangun untuk menyediakan sedikit bekalan makan kami untuk di bawa ke Zoo Melaka. Menu ayam masak merah, ikan sambal, ayam masak kicap serta sayur kobis pastinya lebih lazat dari makanan yang ntah apa-apa yang dijual di luar sana... Walaupun di Malaysia, amat mudah untuk mencari kedai makan, tapi dengan bilangan ahli yang seramai ini adalah lebih baik jika dapat masak sendiri. Kos juga dapat dijimatkan. Kualiti juga terjamin!... Mujur kami bermalam di rumah bapa saudara Mus yang mengizinkan kami untuk menggunakan dapurnya sepenuhnya!!! Terima kasih Pak Itam Sali dan Mak Itam Wati!!!!

Tiba di Zoo Melaka seawal jam 9.30 pagi...Dan malam itu sekali lagi kami bermalam di rumah Pak Itam.. Kali ini bukan di Port Dickson! Tapi, terletak di Cheng, Melaka!!!... Pak Itam mempunyai rumah di Cheng Melaka. Pak Itam sekeluarga sanggup turun dari Port Dickson ke Melaka untuk menemani kami malam itu... Mujur hanya sebuah sahaja bilik di rumah ini yang disewakan kepada penyewa... Cukuplah untuk kami tumpang berteduh pada malam itu...
Pemandangan malam di Melaka
7 Disember 2010
Melaka sentiasa menjadi percutian menarik untuk dikenang! Baik dari segi sejarah, mahupun kemajuan yang pesat berkembang...Boleh juga baca 'entry' khas di Cebisan Kenangan Dalam Kehidupan: Melaka : Sejarah dan Kemajuan


Melaka Mega Mall yang terletak di Dataran Pahlawan
Setelah penat meronda-ronda di Melaka Raya, kami bergerak ke Durian Tunggal untuk ke rumah Kak Cahaya...5 keluarga X-Notts berjaya dikumpulkan hari ini :-
1. Keluarga Nazri-Yati
2. Keluarga Mus-Laily
3. Keluarga Zul-Farah
4. Keluarga Ustaz Agus-CT Khir
5. Keluarga Naim-Nadia
6. Shah Wollaton (bakal pengantin)

Sungguh beruntung geng2 Melaka, ramai ahli boleh dikumpulkan... Kami kesunyian di Parit Raja... Keluarga Baha-Awin nuuuuuuuun jauh di Muar... Keluarga Latip-Aisyah nuuuuuun jauh di Batu Pahat... (Teringin juga nak melawat si comel Nufah ni, tapi Uncle Mus bz sket sampai next week!... Insya Allah lepas krismas nanti, Iris datang visit Nufah yer!!)

Seringkali bila tiba hari Jumaat malam Sabtu, Mus berbunyi "Bu, malam ni kita nak serang rumah saper bu?" atau "Bu, kita nak ajak saper lepak rumah kita malam ni bu?"

Tak sabar rasa di hati nak menanti kepulangan geng2 UTHM di UK (keluarga Azizi, keluarga Wati, keluarga Fidah)... Mujur juga ada keluarga Mun yang baru pulang... Dapat jugalah kami menumpang bermanja tidak lama lagi nie!!!...

Penutup kepada percutian kali ini adalah acara makan-makan di Medan Ikan Bakar di.... (Ya ALlah lupa lagi... kenapalah ingatanku begitu cetek akhir akhir ini? nanti jap yer..) tajaan sahabat kami, Ezree... Thanks friend!!!
Tiba di rumah sebaik sahaja embun malam mula membasahi bumi... home sweet home... esok pagi dah start kerja... zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz....

Wednesday, December 8, 2010

Melaka : Sejarah dan Kemajuan

Hujung minggu yang lalu sekali lagi penulis (chewah... kali nie nak tulis ala ala penulis yang menulis di ruangan akhbar atau majalah) membawa anak-anak bercuti. Destinasi percutian kali ini adalah ke negeri jiran iaitu Melaka dan Negeri Sembilan... Mengapa Melaka dan Negeri Sembilan yang menjadi pilihan??

Pertamanya kerana Melaka merupakan sebuah tempat yang penuh dengan sejarah dan nostalgia. Bukan sahaja kepada seluruh dunia malahan kepada penulis sendiri. Satu ketika dulu, bandaraya Melaka (yang dahulunya lebih popular dengan nama Banda Hilir) merupakan tempat yang wajib dikunjungi penulis setiap kali cuti sekolah tiba. Bukan setakat rombongan sekolah sahaja yang diikuti oleh penulis.. Malahan ibu bapa penulis juga gemar membawa penulis dan adik-adik bercuti ke Melaka dan juga mandi laut di Pantai Port Dickson ataupun Tanjung Bidara.

Kini setelah puluhan tahun berlalu, nampaknya tempat-tempat yang penuh dengan nostalgia kepada penulis kian berubah seiring dengan arus perkembangan dan kemajuan Malaysia.Bandar Melaka sebagai contoh, kini dihiasi dengan pelbagai bangunan baru dan moden seperti Dataran Pahlawan dan Menara Taming Sari yang hampir sahaja menenggelamkan tinggalan Kota A'Famosa yang cukup sinonim dengan Melaka.
Kota A'Famosa merupakan kubu yang telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada 25 Julai 1511. Namun kota ini telah dimusnahkan pada tahun 10 Ogos 1807 semasa pemerintahan tentera British... Satu-satunya pintu masuk yang tinggal adalah Porta de Santiago (sepertimana gambar di bawah).
Hati penulis berbisik, walaupun bangga dengan kemajuan yang dikecapi oleh Melaka sehinggakan gelaran Melaka Bandaraya Bersejarah kini sudah berubah menjadi Melaka Maju, namun kesayuan sedikit terpahat mengenangkan sejarah Melaka yang kian terkubur. Tahukah anak-anak serta cucu-cucu penulis kelak tentang sejarah Melaka? Mengertikah mereka perjuangan dan pengorbanan datuk nenek mereka satu ketika dulu?

Dek kerana mengejar kemajuan, sejarah nampaknya kian menjadi sejarah... Bandaraya yang dahulunya sungguh bersejarah nampaknya kini sudah diiktiraf sebagai Maju... Sukar untuk diluahkan perubahan perasaan penulis, sungguh berbeza perasaan penulis sewaktu menyaksikan bandar Melaka (atau Banda Hilir) di tahun 1987 dengan perasaan penulis menyaksikan Bandaraya Melaka di tahun 2010... Kerana itulah, sejarah dan kemajuan tidak akan pernah dapat bersatu...

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan
Projek terbaru
Inilah dia gambaran sebenar Dataran Pahlawan yang sungguh besar dan moden yang kini menenggelamkan kesan sejarah di Banda Hilir Melaka
Di malam hari Melaka kini disimbahi cahaya indah di sepanjang Sungai Melaka. Menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot pasti membawa penumpang mengimbau zaman kegemilangan Melaka sebagai pusat tumpuan dunia satu ketika dulu...