Wednesday, December 8, 2010

Melaka : Sejarah dan Kemajuan

Hujung minggu yang lalu sekali lagi penulis (chewah... kali nie nak tulis ala ala penulis yang menulis di ruangan akhbar atau majalah) membawa anak-anak bercuti. Destinasi percutian kali ini adalah ke negeri jiran iaitu Melaka dan Negeri Sembilan... Mengapa Melaka dan Negeri Sembilan yang menjadi pilihan??

Pertamanya kerana Melaka merupakan sebuah tempat yang penuh dengan sejarah dan nostalgia. Bukan sahaja kepada seluruh dunia malahan kepada penulis sendiri. Satu ketika dulu, bandaraya Melaka (yang dahulunya lebih popular dengan nama Banda Hilir) merupakan tempat yang wajib dikunjungi penulis setiap kali cuti sekolah tiba. Bukan setakat rombongan sekolah sahaja yang diikuti oleh penulis.. Malahan ibu bapa penulis juga gemar membawa penulis dan adik-adik bercuti ke Melaka dan juga mandi laut di Pantai Port Dickson ataupun Tanjung Bidara.

Kini setelah puluhan tahun berlalu, nampaknya tempat-tempat yang penuh dengan nostalgia kepada penulis kian berubah seiring dengan arus perkembangan dan kemajuan Malaysia.Bandar Melaka sebagai contoh, kini dihiasi dengan pelbagai bangunan baru dan moden seperti Dataran Pahlawan dan Menara Taming Sari yang hampir sahaja menenggelamkan tinggalan Kota A'Famosa yang cukup sinonim dengan Melaka.
Kota A'Famosa merupakan kubu yang telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada 25 Julai 1511. Namun kota ini telah dimusnahkan pada tahun 10 Ogos 1807 semasa pemerintahan tentera British... Satu-satunya pintu masuk yang tinggal adalah Porta de Santiago (sepertimana gambar di bawah).
Hati penulis berbisik, walaupun bangga dengan kemajuan yang dikecapi oleh Melaka sehinggakan gelaran Melaka Bandaraya Bersejarah kini sudah berubah menjadi Melaka Maju, namun kesayuan sedikit terpahat mengenangkan sejarah Melaka yang kian terkubur. Tahukah anak-anak serta cucu-cucu penulis kelak tentang sejarah Melaka? Mengertikah mereka perjuangan dan pengorbanan datuk nenek mereka satu ketika dulu?

Dek kerana mengejar kemajuan, sejarah nampaknya kian menjadi sejarah... Bandaraya yang dahulunya sungguh bersejarah nampaknya kini sudah diiktiraf sebagai Maju... Sukar untuk diluahkan perubahan perasaan penulis, sungguh berbeza perasaan penulis sewaktu menyaksikan bandar Melaka (atau Banda Hilir) di tahun 1987 dengan perasaan penulis menyaksikan Bandaraya Melaka di tahun 2010... Kerana itulah, sejarah dan kemajuan tidak akan pernah dapat bersatu...

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan
Projek terbaru
Inilah dia gambaran sebenar Dataran Pahlawan yang sungguh besar dan moden yang kini menenggelamkan kesan sejarah di Banda Hilir Melaka
Di malam hari Melaka kini disimbahi cahaya indah di sepanjang Sungai Melaka. Menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot pasti membawa penumpang mengimbau zaman kegemilangan Melaka sebagai pusat tumpuan dunia satu ketika dulu...

No comments:

Post a Comment