Wednesday, December 31, 2014

Kembara Umrah 15 - 26 Disember 2014

Sebagai makluman, pakej yang saya ambil ini , perjalannnya dari Changi ke Jeddah (transit di Colombo) dan terus masuk ke Mekah. Setiap orang pasti mempunyai pandangan berbeza tentang masuk mana dulu, masuk Mekah dahulu yg bagus atau masuk ke Madinah dulu yang bagus.

Jika di tanya pendapat peribadi saya, saya boleh simpulkan di sini begini. Jika masuk Mekah dahulu, 

1. Kita sudah selesai buat ibadat yang wajib terlebih dahulu sebaik sahaja kita sampai di Mekah. Dan, bila kita sampai di Medinah, kita sudah ringan kerana ibadah yang wajib sudah selesai. Kalau nak bershopping pun, tidak terasa bersalah sangatlah kerana ibadah yang wajib sudah dilunaskan. 

2. Perjalanan hijrah Nabi Muhammad s.a.w. adalah bermula dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Maka kita juga menyusuri perjalanan yang sama seperti junjungan besar kita. 

3. Setelah menempuh 13 jam perjalanan yang panjang, saya bersyukur dapat masuk terus ke Mekah kerana perjalanan Jeddah ke Medinah mengambil masa yang agak panjang sekitar 5 jam perjalanan.

4. Perasaan teruja untuk melihat Kaabah & mengerjakan umrah pastinya berada di tahap yang maksimum. Sebolehnya, sesampai sahaja ke Tanah Arab, tempat pertama yang ingin dituju pastilah Masjidilharam.

Walaubagaimanapun, ini hanyalah pendapat peribadi saya sahaja. Pastinya masuk ke Madinah terlebih dahulu juga mempunyai kelebihan tersendiri. Sebab itulah, diberikan dua pilihan pakej samada masuk Mekah dahulu ataupun Madinah dahulu. Wallahu alam.


Tentatif Kembara Umrah Mumtaz Travel
Hari 1 (Isnin, 15/12/2014) 
3.00 pagi : berkumpul di Mumtaz Travel
3.30 pagi : bergerak ke Changi Airport, Singapore
10.00 pagi : Penerbangan ke Colombo

Hari 2 (Selasa, 16/12/2014)
Umrah 1
Acara bebas

Hari 3 (Rabu, 17/12/2014)
Acara bebas

Hari 4 (Khamis, 18/12/2014)
Ziarah Jabal Thur, Jabal Rahmah & berniat ihram (Umrah 2) di Miqat Jaaranah

Hari 5 (Jumaat, 19/12/2014)
Acara bebas
Solat Jumaat di Masjidilharam

Hari 6 (Sabtu, 20/12/2014)
Ziarah ke Hudaibiyah & berniat ihram (Umrah 3) di Miqat Hudaibiyah

Hari 7 (Ahad, 21/12/2014)
Ziarah ke Jabal Nur & Gua Hira'

Hari 8 (Isnin, 22/12/2014)
Tawaf Wida' selepas solat Zuhur
2.00 petang : check out hotel & bergerak ke Madinah
8.30 mlm : check-in hotel di Madinah
10.00 mlm : ke Raudhah

Hari 9 (Selasa, 23/12/2014)
Acara bebas

Hari 10 (Rabu, 24/12/2014)
Ziarah Masjid Quba dll

Hari 11 (Khamis, 25/12/2014)
Ziarah Wida' selepas solat Subuh
9.00 pagi : check-out hotel & bergerak ke Jeddah
9.10 mlm (waktu Saudi) : penerbangan dari Jeddah ke Colombo

Hari 12 (Jumaat, 26/12/2014)
7.25 pagi (waktu Sri Lanka) : Penerbangan Colombo, Sri Lanka - Changi, Singapura
2.20 ptg (waktu Singapura) : tiba di Changi Airport
5.20 ptg : tiba di Mumtaz Travel Johor Bahru











Pra - Kembara Umrah 15 Dis - 26 Disember 2014

Bismillahirrahmanirrahim...

Segala pujian bagi Allah , yang menakluk sekalian alam... Yang mengizinkan kami menjadi tetamu-Nya... Syukur syukur syukur Alhamdulilllah... Sebuah kembara yang cukup indah, cukup menginsafkan & cukup meninggalkan kesan yang mendalam.

Jika diimbas rentetan aturan kembara umrah ini, terlalu kerdil rasa diri ini... Masih segar di ingatan, sekitar hujung tahun 2013, hasrat untuk menunaikan umrah ini disuarakan kepada seluruh ahli keluarga, ibu ayah, mak mertua & juga adik beradik.. Bulan April dipilih kerana ingin menyertai rombongan umrah Makcom. Namun perancangan Allah lebih sempurna. Ibu kandung tidak sihat kerana jatuh motor, ibu mertua & encik suami juga mempunyai alasan tersendiri. Malahan yang empunya diri ini juga tampak tidak begitu bersedia, dari segi kerohaniannya, juga sedikit faktor tabungannya. Agak baik juga jika dicatatkan di sini untuk rujukan diri sendiri di masa hadapan.

Oktober 2013 : menyatakan hasrat untuk menunaikan umrah dan mengajak ibu, suami & adik beradik untuk pergi bersama. Perancangan asalnya ingin berangkat pada cuti persekolahan bulan Mei 2014

November 2013 : mendapat pelawaan daripada Makcom untuk turut serta di dalam pakej Shahid Travel. Tarikh penerbangan adalah sekitar bulan April 2014. Pada masa yang sama, tangan tidak henti henti 'klik' dari satu website ke website pakej umrah untuk membuat perbandingan. Memandangkan mak begitu kuat keinginan untuk mengikuti rombongan makcom dengan alasan :-
1. ramai kawan-kawan mak di situ
2. kursus umrah diadakan dekat dengan rumah, iaitu di masjid Parit Sulong
3. Mutawif yang sudah kenal rapat iaitu Cikgu Hj. Mohd. Rawi (suami makcom)
4. Mutawif yang bagus, sentiasa membawa para jemaah bersama sepanjang berada di sana
maka saya turutkan sahaja.

Sekitar bulan Februari, mak ditimpa musibah. Dua kali mak jatuh motor dan menyebabkan kesihatan mak tidak begitu mengizinkan. Dan kami tidak dapat mengikuti rombongan makcom. Hati berbolak balik, keinginan begitu tinggi untuk pergi, tapi jauh di dasar hati turut terbit perasaan kerdil & gementar. Lebih selesa mengambil pendekatan positif, hati merelakan. Ya, mungkin belum tiba lagi kad jemputan untuk kami.

Sekitar Jun 2014, hasrat untuk ke Tanah Suci Mekah kian membara. Saban hari, diri ini membuat kajian & perbandingan di antara satu travel & travel yang lain. Saban hari, berdoa & berdoa tanpa jemu agar dipermudahkan & diizinkan untuk menjadi tetamuNya. 2 kali bertukar tarikh, dan 3 kali bertukar travel bukan sesuatu yang luar biasa.

Pada peringkat awal, pakej Andalusia yang menjadi pilihan. Malangnya bila, menghubungi pihak syarikat, dimaklukmkan bahawa penerbangan bulan Disember 2014 sudah penuh. Yang tinggal hanyalah penghujung bulan Disember 2014 sahaja. Tarikh  yang kami pilih adalah penerbangan 11 Disember 2014. Pihak syarikat menawarkan untuk mengikuti pakej travel Faizin yang merupakan anak syarikat Andalusia. Namun hati ada sedikit kegusaran memandangkan Faizin masih baru dan tiada testimoni yang boleh dirujuk setakat ini.

Di dalam kemelut hati yang berbolak balik, makcom datang lagi menawarkan pakej Shahid Travel, penerbangan pada 13 Disember 2014, iaitu tarikh yang memang saya pilih semasa membuat tinjauan di Andalusia. Tanpa berlengah, kata putus diberikan kepada makcom. Seramai 10 orang di kalangan ahli keluarga kami akan menyertai kumpulan makcom kali ini.

14 Oktober 2014 : semua dokumen untuk permohonan visa, seperti pasport, gambar, suntikan, salinan kad pengenalan, salinan sijil nikah dan lain-lainnya telah diuruskan. Borang pendaftaran bersama wang pendahuluan telah dihantar ke Shahid Travel.  8 orang kesemuanya yang sah untuk turut serta.

4 November 2014 : mendapat perkhabaran duka dari Shahid Travel bahawa tarikh yang kami pilih tiada penerbangan, atau tiada seat, atau tidak diluluskan. Entahlah saya sendiri tidak pasti apa alasan yang sebenar. Apabila ditanya, syarikat memberikan jawapan bahawa hanya separuh sahaja daripada permohonan yang diluluskan.

10 November 2014 : Allah menggerakkan hati adik saya untuk bertanyakan update tentang kembara umrah. Setelah mendapat tahu berita duka itu, adik mencadangkan agar bertanya dengan Mumtaz Travel sekiranya masih ada kekosongan.

12 November 2014 : Mendapat perkhabaran gembira daripada Mumtaz Travel bahawa tarikh yang kami pilih iaitu 15 Disember 2014 masih ada kekosongan. Perkhabaran gembira ini segera saya war-warkan kepada ahli keluarga yang lain. Pelbagai maklumbalas diterima. Ada yang belum cukup duit, ada yang belum bersedia dan macam-macam lagi. Saya memberikan kata dua sahaja, sesiapa yang sudah bersedia untuk turut serta, sila bank-inkan bayaran penuh. Tanpa bayaran penuh, tiada permohonan yang boleh diproses.

16 - 18 November 2014 : Proses pendaftaran & pindahan wang dilakukan serta merta dalam tempoh 3 hari ini. Yang confirm turut serta hanya 7 orang sahaja berbanding 10 orang sebelum ini. Syukur Alhamdulillah, semua urusan mudah & berjalan dengan lancar. Tarikh juga sudah confirm berangkat pada 15 Disember 2014 dan pulang pada 26 Disember 2014.

Memang benarlah janji Allah, niat yang baik Insya Allah pasti akan dipermudahkan.. Amiiiin


21 November 2014 : Buat pertama kalinya saya menghadiri kursus umrah anjuran Mumtaz Travel di Rengit.


6 Disember 2014 : Kursus umrah perdana Mumtaz Travel di Bandar Baru Uda, Johor Bahru

13 Disember 2014 : Menghadiri Kursus umrah kedua anjuran Mumtaz Travel di Rengit. Pada hari ini juga baru saya mendapat panggilan daripada Mumtaz Travel memaklumkan bahawa permohonan visa kami telah diluluskan. Alhamdulillah...