Lebih kurang jam 9.00 malam tanggal 4 Ogos 2011, saya membaca status di facebook sepupu suami (Teratai Purple) berkenaan kebimbangannya mengenai ayahnya. Sudah 20 hari ayahnya ditahan di ICU lantaran mengalami kemalangan di kebunnya bulan lalu.
Menurut cerita isteri Pakcik Mat (Makcik Laili, yer! memang benar makcik Mus ini mempunyai nama yang sama dengan saya), Pakcik Mat telah terjatuh dari motosikal dan tergolek jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter. Kesan kemalangan itu, 4 tulang rusuk Pakcik Mat telah patah, dan paru-parunya rosak.Para doktor telah berusaha membantu dan merawat Pakcik Mat. Alhamdulillah, setelah beberapa hari tidak sedarkan diri, Pakcik Mat sudah mula sedar dan boleh berbual-bual walau masih dalam keadaan yang lemah.
Namun begitu, ketentuan Allah, tiada siapa yang mampu menduganya. Malam tadi, kami dikejutkan dengan berita Pakcik Mat sudah nazak dan hanya bergantung dengan mesin pernafasan sahaja.
Lebih kurang jam 12.30 malam, saya dan Mus bergerak ke Hospital Sultanah Aminah untuk menjenguk keadaan Pakcik Mat, namun Pakcik Mat hanya tidur dengan begitu nyenyak sambil sesekali nafasnya berombak kencang. Di leher Pakcik Mat juga sudah ditebuk lubang bagi memasukkan salur yang ntah apa namanya.
Doktor dan jururawat yang bertugas menasihati kami agar tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat Pakcik Mat sembuh seperti sedia kala, sekaligus membuatkan kami bersedia dan redha dengan apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku. Kami dimaklumkan jantung Pakcik Mat kian lemah dan sudah mula dibekalkan dengan ubat bagi membolehkan jantungnya berdegup normal.
Setelah berbual pelbagai perkara bersama Makcik Laili dan jururawat bertugas, kami bergerak pulang ke Parit Raja. Sesampai sahaja di rumah, aku menyiapkan juadah bersahur untuk mak, adik dan anak-anak dengan tema "as simple as you can".
No comments:
Post a Comment