Pengalaman merantau di negara orang, antara yang paling indah untuk dikenang adalah pengalaman ber'carboot' setiap pagi Ahad. Ada juga carboot yang dibuka pada hari Sabtu petang (di Junction) atau Rabu petang (di Arnold). Entah dari mana kekuatan yang kami perolehi sehinggakan sanggup meredah kesejukan pagi di musim sejuk, dengan bekalan air panas di tarmos dan juga biskut ASDA.
Carboot pertama yang kami kunjungi adalah 'indoor carboot' di Mansfield pada 9/12/2006.
Minggu kedua (16/12/2011), kami menjelajah ke carboot Colwick pula
Dan minggu-minggu seterusnya, jarang benar kami melepaskan peluang untuk ke carboot. Bagi kami, carboot sudah menjadi seperti satu kemestian, rutin yang tidak boleh ditinggalkan, dan menjadi seolah-olah satu hiburan, hari bersantai-santai bersama keluarga di hujung minggu setelah seminggu si ayah dan anak-anak bergelut dengan buku-buku.
Carboot di musim panas terutama bulan Jun hingga Ogos biasanya lebih meriah berbanding ketika musim sejuk. Ini pula gambar carboot Calverton pada 10/6/2007. Ketika ini, rakan-rakan kami dari Sheffield (Azizi dan Tuan Norhayati) dan Leeds (Norwati) datang berkunjung ke Nottingham.
Antara banyak-banyak carboot yang pernah kami kunjungi, kami paling suka carboot di Trowell yang hanya dibuka pada musim panas sahaja. Kebiasaannya, kami akan cuba sampai seberapa awal yang boleh, dan pulang seberapa lewat yang boleh. Kedengaran agak melampau kan? Namun itulah keseronokan yang kami alami, hingga hari ini, setiap kali teringat kenangan ber'carboot' seakan ada manik jernih yang bergenang di kelopak mata. Dan, hingga ke hari ini juga, saya sering kali tersenyum sendirian setiap kali teringat kata-kata kakak saya "biar menyesal beli, jangan menyesal tak beli!" wink! wink!
Semalam (20.11.2011), kami diberi kesempatan untuk merasai pengalaman ber'carboot' di Malaysia. Carboot yang kami maksudkan ini terletak di Rengit. Jika kita sebut sahaja Rengit, pasti ramai yang mengaitkan dengan pusat penjualan barangan terpakai yang boleh tahan juga besarnya di pekan Rengit. Apa sahaja boleh ditemui di pasar ini seperti perabot, barangan elektrik, pakaian dan pelbagai lagi. Kebanyakan kedai barangan terpakai ini dimiliki oleh orang-orang Asli Kuala Rengit.
Kalau sampai di Pekan Rengit, cari sahaja pasar basah. Di kiri kanan jalan, di sepanjang jalan bermula dari pasar basah, sehinggalah ke penghujung jalan menuju ke muara sungai, dipenuhi dengan kedai kedai kayu yang dibina oleh masyarakat orang asli di sini untuk menjalankan perniagaan mereka.
Barangan yang dijual pula biasanya diperolehi dari Singapura. Setiap minggu, peniaga ini akan turun ke Singapura untuk membeli barangan terpakai di sana dengan membawa lori ataupun van dan membawa pulang barang ke Rengit pada hari yang sama.
Sekali pandang, kadang-kadang kawasan ini kelihatan seperti pusat pelupusan sampah, tapi jika kita rajin berjalan dan pandai tawar menawar, Insya Allah banyak barangan berkualiti yang boleh kita perolehi dengan harga yang berpatutan.
Dan, baru-baru ini, deretan kedai kekal telah dibina oleh pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk memberi keselesaan kepada usahawan orang asli ini selain memudahkan pengunjung membeli belah. Dengan adanya bangunan kekal ini, kawasan perniagaan tampak lebih sempurna. Pengunjung juga bebas keluar masuk dari satu kedai ke satu kedai untuk memilih barangan yang mereka cari.
Malangnya dek keghairahan memborong barangan terpakai semalam menyebabkan saya terlupa untuk mengambil sekeping dua gambar kenang-kenangan untuk diabadikan di blog saya ini.
No comments:
Post a Comment