Saturday, January 1, 2011

Coretan 1111

Angka 1.1.11 ~ angka yang indah untuk diabadikan...

Hari ini merupakan hari pertama di tahun baru 2011 atau bersamaan dengan 26 Muharram 1432 Hijrah...

Sejarah dan kenangan 2010 telah ditinggalkan dan kini saya melangkah dengan lebih yakin di tahun 2011. Saya menyulam mimpi baru di tahun baru dengan memuhasabah diri terhadap kekhilafan lampau. Niat dipateri di dalam hati untuk menjadi ibu, isteri dan anak yang lebih baik dari sebelum-sebelumnya.

Bila berbicara tentang tahun baru, pasti persoalan azam baru akan diutarakan. Persoalannya bila membuat azam baru, bagaimana pula dengan azam yang lama? Atau bagaimana pula jika azam lama masih tidak tercapai, adakah perlu membuat azam baru dan meminggirkan azam yang lama?

Pendapat peribadi saya, tidak ada istilah azam baru atau azam lama. Yang perlu ada adalah matlamat hidup yang kita ingin capai. Kita perlu ada matlamat jangka panjang dan juga matlamat jangka pendek. Jika kita berjaya mencapai matlamat yang kita tetapkan sendiri itu, itulah kejayaan kita yang sebenarnya!... Ya, mungkin kita boleh meletakkan azam kita "Saya berazam ingin mencapai matlamat saya". Maka azam kita saban tahun tetap sama, yang berubah hanyalah matlamat kita.

Untuk tahun 2011, saya mempunyai beberapa perancangan atau matlamat yang ingin saya capai. Antara yang besar adalah menyelesaikan 3 sasaran tahun 2010 saya yang tidak tercapai. Bagaimana caranya, tidak akan dituliskan di sini kerana saya sendiri masih berfikir dan terus berfikir. Mungkin dari semasa ke semasa perkembangannya akan saya kongsikan di blog ini.

Selain itu, saya juga berhasrat untuk menerbitkan sebuah buku. Kedengaran seperti begitu besar angan-angan itu, namun saya perlu memulakannya! Jika tiada permulaan bagaimana mahu dicari akhiran, bukan? Terima kasih kepada Dr. K yang tidak jemu jemu memberikan kata-kata perangsang dan penguat semangat. Takut sebenarnya hendak berjanji, tapi saya perlu berubah! Tidak akan ada orang lain yang boleh mengubah saya, melainkan diri saya sendiri!..

Saya juga meletakkan sasaran untuk menyambung pengajian di peringkat Masters tahun ini. Saya sangat suka belajar, walaupun saya bukanlah seorang pelajar yang pintar, yang sering cemerlang di dalam peperiksaan. Saya hanyalah seorang insan yang dahagakan ilmu. Saya suka berada di dalam dunia yang bergelumang dengan buku-buku. Saya pernah kecewa dengan pencapaian saya yang tidak cemerlang di dalam pengajian di peringkat Ijazah dahulu dek tuntutan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri, ibu, anak dan pekerja dalam satu masa. Saya yakin bahawa saya sebenarnya mampu melakukan lebih baik dari itu jika saya berpeluang melakukannya. Untuk itu, saya ingin menebus kekecewaan itu tahun ini.

Untuk diri sendiri, saya meletakkan sasaran untuk menurunkan berat badan kepada dua angka yang lebih baik. Setiap hari, inilah yang bersarang di fikiran, yang menyusutkan fikiran. Telinga saya sudah muak mendengar dialog yang sama setiap kali berdepan dengan saudara-mara mahupun rakan-rakan yang telah lama tidak ditemui. Suami juga saban hari menuturkan dialog yang sama. Boleh stress hidup jika begini selamanya...

Oh!ya, ada 2 projek besar yang akan kami laksanakan tahun ini. Semoga 2 projek ini akan menjadi titik tolak kepada kejayaan kami di masa hadapan. Buat masa ini projek ini masih dalam stutus X (rahsia hehehe)... Insya Allah akan dikongsikan bersama bila ianya dilancarkan kelak!...

Cukup dahulu buat kali ini. Terlalu banyak pendedahan pun tidak bagus untuk saya. Jika tidak tercapai, diri sendiri juga yang menanggung malu. Semoga Allah mempermudahkan semua urusan saya...Insya Allah...

No comments:

Post a Comment