Thursday, March 1, 2012

Ectopic Pregnancy

Segala-galanya bermula tanggal 1 Mac 2012 : jam 5.30 pagi, di mana saya tiba-tiba diserang dengan sakit perut yang teramat-amat sangat... Kesakitan yang umpama pisau menghiris kulit, juga umpama 'contraction' seperti mahu melahirkan bayi, dan juga umpama ingin membuang air.  Suasana Subuh yang bening, tiba-tiba bertukar menjadi kelam kabut lantaran tiba-tiba sahaja saya menjerit menyebabkan En.Mus turut terperanjat dan panik dengan situasi itu.

Berkali-kali juga saya cuba ke bilik air untuk cuba membuang apa-apa yang patut dibuang. Di dalam hati, salah makan apa agaknya yer malam tadi? Keracunan ke? Apendiks ke? Gastrik ke? Saya yang menyangkakan itu hanya sakit perut biasa, berusaha bertahan sambil menunggu jam 8 atau 9 pagi, menanti klinik UTHM dibuka. Mus sebagaimana biasa, menguruskan anak ke sekolah sekitar jam 7 pagi, dan berjogging dahulu sementara menanti jam 8.00 pagi.

Mus pada mulanya ingin terus membawa saya ke klinik tetapi memandangkan dia ada kelas jam 8 pagi, saya menyarankan agar Mus ke kelas dahulu.  Saya rasa, pagi itu berkali-kali juga saya pengsan kerana tiba-tiba sahaja saya gelap mata dan hanya tersedar bila Iris atau Mus atau bibik memanggil nama saya.

Sementara itu, saya di bilik sudah menderita kesakitan. Sekejap sekejap ke bilik air, untuk buang air tetapi tidak berhasil.  Ada satu ketika, saya ke bilik air sendirian, dan tiba-tiba saya jatuh di pintu bilik air. Mujur ada Iris di sisi, dialah yang memanggilkan ayahnya yang ketika itu berada di bawah. Saya semakin hilang tenaga dan tubuh badan saya semakin lemah.. Untuk menyalin pakaian pun saya tidak mampu melakukannya bersendirian. 

Jam 9.15pg, Mus tiba semula ke rumah untuk membawa saya ke klinik UTHM. Saya mencadangkan agar En. Mus memanggil ambulan UTHM sahaja untuk mengambil saya di rumah lantaran tidak mampu berdiri, tapi Mus kata tak apalah, kita turun perlahan-lahan.  Terpaksalah Mus dan Bibik memapah saya hingga ke bawah. Tiba sahaja di bawah, saya terus terbaring di lantai kerana sudah kehabisan daya dan tenaga untuk berdiri.  Saya mendesak Mus untuk menarik saya sahaja ke dalam kereta, tapi Mus tidak sampai hati hendak menarik tangan saya. Terpaksalah saya merangkak hingga ke kereta. Namun, sekali lagi saya pengsan! Kali ini Mus benar-benar panik kerana wajah saya sungguh pucat katanya, dan mata hitam juga sudah tidak nampak, hanya mata putih sahaja yang kelihatan.. Saya hanya tersedar bila Mus menjerit memanggil-manggil nama saya sambil beristighfar berkali-kali.

Tiba di klinik UTHM, nurse yg bertugas terus memasukkan air ke dalam badan bila melihat keadaan saya yang sudah tidak bermaya.  Saya mula merasakan kesakitan yang saya alami ketika itu, mungkin ada kaitan dengan kandungan saya! Sejujurnya saya tidak tahu saya mengandung, tapi saya dapat merasakan yang saya mengandung kerana saya sudah lama tidak datang kotor.

Sebenarnya, kali terakhir saya period ialah pada 15/10/2011. Saya pernah buat UPT sendiri pada 3/1/2012, namun hasilnya negatif. Dalam hati, musykil juga dah lebih 2 bulan, kenapa tak period lagi? Stress ke? Entah la, saya tiada jawapan kepada soalan itu. Bila masuk ke bulan Februari pun, masih tidak period, saya macam dapat rasa yang saya pregnant tapi saya lengah2kan buat UPT sebab tak mahu resultnya negatif lagi. And my very big mistake was saya tak buat scan. Doktor di UTHM memang marah bila dapat tahu saya tidak buat check-up dan scan.
Bila diberitahu saya sudah beberapa bulan tidak datan kotor, MA (Medial Assisstant) minta saya ke bilik air untuk mendapatkan urine, namun saya menolak kerana tidak mampu untuk bangun apatah lagi berdiri atau berjalan.

Saya mengadu sakit perut yang teramat sangat, nurse yang bertugas segera memanggil Dr Zul.. Bila Dr. Zul mendapati tekanan darah saya terlalu rendah, dia minta ditambah satu lagi air di tangan kanan pula. Dr. Zul terus membawa saya ke bilik scan untuk memeriksa perut. Saya terlihat kegusaran di wajah Dr Zul bila dia melihat ke skrin komputer yang ada di bilik scan.  Saya terdengar Dr Zul berkata, 'I think she's pregnant but............(dah tak dengar dah....)

Saya segera dibawa semula ke bilik kecemasan klinik UTHM dan Dr Zul pula menyiapkan surat rujukan ke Hospital Batu Pahat. Nurse yang bertugas pula memasukkan salur kencing. Bila dapat sedikit urine, Dr Mai segera membuat UPT dan hasilnya memang 2 LINE!!!

Dr Mai menghampiri saya dan menerangkan kepada saya 'condition' saya ketika itu. Menurut Dr Mai, saya disahkan mengandung luar rahim, iaitu di salur felofium dan malangnya sudah pecah. Berdasarkan scan yang dibuat oleh Dr Zul, didapati darah sudah memenuhi keseluruhan abdomen saya. Untuk menyelamatkan saya, saya perlu dibedah untuk membuang salur felofium yan sudah pecah itu serta membuang dan mencuci darah yang banyak di dalam perut.  Saya diminta banyak beristighfar, berselawat dan bertenang. Pada waktu itu, saya masih blur tidak tahu samada pembedahan ini merupakan pembedahan minor atau major.. Segala-galanya saya serahkan kepada Allah, sebaik-baik perancang..

Sempat juga saya menoleh ke arah jam dinding di klinik UTHM, sekitar hampir jam 12, saya dibawa ke Hospital Batu Pahat oleh ambulan UTHM.. Tercapai juga hajat saya nak naik ambulan yer! :) Pagi tadi, En.Mus taknak panggilkan ambulan, sekarang dapat naik! hehe... Sepanjang perjalanan saya tidak-tidak putus membaca doa La Ila Ha Illa Anta subhanaka inni kuntu minazzolimin...

Tiba di Wad Kecemasan, 4,5 orang doktor sudah bersedia menanti kehadiran kami. Rupa-rupanya pihak UTHM telah menghubungi pihak Hospital Batu Pahat untuk menerangkan keadaan diri saya. Segala-galanya berlaku dengan pantas. Semua doktor memainkan peranan masing-masing, ada yang cucuk tangan kanan, ada yang cucuk tangan kiri, ada yang salinkan baju operation, ada yang scan perut, ada yang selimutkan dengan 'warm blanket'.  Ketika doktor memanggil Mus, saya lihat mata Mus sudah basah.. Saya tahu dia menangis kerana terlalu risaukan saya.

Saya diminta untuk menandatangani beberapa helaian dokumen untuk proses pembedahan. Entah apa isi kandungan dokumen itupun, tidak saya ketahui. Entah-entah kalau kata kat situ ada tulis, pihak hospital tidak akan bertanggungjawab di atas segala implikasi ke atas pembedahan pun, aku main setuju ajer...hehehe... Oh!ya ditambah juga satu lagi borang, implikasi pembedahan yang dijalankan tanpa cukup syarat berpuasa. Oleh kerana kali terakhir saya makan adalah sekitar jam 10 pagi dan pembedahan dijalankan sekitar jam 1 petang (tidak cukup 6 jam), besar kemungkinan akan ada implikasi kepada organ-organ tertentu. Doktor tiada pilihan lain, condition saya cukup kritikal ketika itu. Jika pembedahan lewat dijalankan, kemungkinan saya boleh kehilangan nyawa. Syukur, Allah itu sebaik-baik perancang. Mujur cepat saya dibawa ke hospital.

Saya ditolak ke bilik pembedahan (OT) jam 1.10 petang. Keadaan saya ketika itu, semakin 'worst'.. Kaki sudah mula menggeletar, perut pula asyik ber'dug'dag'..(susahnya nak explain hehehe). Seorang doktor Chinese muda memanggil Mus untuk menerangkan implikasi pembedahan yang akan dijalankan. Sister di sebelah pula tidak henti-henti menyuruh saya beristighfar, berselawat, berdoa dan bertenang. Di mulut saya, doa itu tidak henti-henti dilafaz... Sempat juga saya pesan pada Mus, 'Abang, tolong bacakan Yasin untuk Laily..' Ya Allah, selamatkanlah aku dalam pembedahan ini. Semoga dipermudahkan pembedahan.

Di OT, saya hanya nampak lampu di atas muka saya sahaja, yang lain-lain tak sempat untuk dijeling. Saya rasa, ada lebih kurang 5-6 sedang mengelilingi saya, setiap orang dengan tugas masing-masing. Ada yang ambil darah, (cucuk lagi! saya orang yang paling penakut kalau doktor ambil darah!) Ha, ambik! rasa-rasanya dekat 5-6 tempat jugalah saya kene cucuk! sampaikan di leher pun ada. Kata doktor, di leher salur darah adalah lebih besar. Mungkin, masuk darah di situ kot. Mata saya galak meliar ke kiri ke kanan, memerhatikan petugas yg sibuk dgn tugas masing-masing.. Secara tiba-tiba, mata saya kian layu, dan akhirnya saya langsung tidak sedar apa lagi yang berlaku ke atas saya.. Saya hanya tersedar bila terdengar seseorang memanggil-manggil nama saya... Saya rasa bagai baru tersedar dari mimpi, di dalam mimpi itu seolah-olah saya sudah mati.. Tapi, ianya berlaku bagai sekelip mata, dan tiba-tiba mimpi itu hilang!

Pembedahan mengambil masa sekitar satu jam lebih. Saya rasa macam baru bangun dari tidur, bila seseorang memanggil nama saya. Syukur Alhamdulillah, saya masih bernafas!... Syukur, Allah masih memanjangkan usia saya... Hampir jam 4 petang, baru saya ditolak keluar dari OT dan dibawa ke Wad ICU. Demi terpandang wajah Mus di hadapan OT, saya mengukirkan senyuman buat Mus, sebagai tanda segala-galanya sudah selesai, sudah selamat dan berjalan lancar!

Menurut doktor, 3 darah baru dimasukkan ke dalam badan saya..huhuhu.. Ntah darah sapalah agaknya yer?... Kata doktor lagi, doktor telah bersihkan dan buang hampir 3 botol darah kotor yang ada dalam perut saya.

Sepanjang malam di Wad ICU, perut saya berdenyut-denyut kesakitan. Setiap satu jam, nurse bertugas mengambil tekanan darah. Alhamdulillah, tekanan darah semakin baik dari masa ke semasa. Doktor yang menjalankan pembedahan juga ada datang meninjau perkembangan diri saya malam itu. Satu ayat doktor Chinese ni yang amat saya ingat 'I think you must be very kind person, your God help you.. You are so lucky there's some people around you when you fall down' Doktor kata, amatlah bahaya jika sudah pengsan berkali-kali. Dalam hati, tidak henti-henti saya lafazkan kesyukuran di atas kekuasaan Allah...

2 Mac 2012
sekitar jam 9 pagi, saya dipindahkan ke wad biasa Wad 6. Keadaan saya pada hari itu, masih lemah. Perut juga masih berdenyut-denyut.  Saya masih belum dibenarkan makan dan minum kecuali air masak sahaja. Sekitar jam 12, baru saya dibenarkan minum air berperisa.  Saya hanya dibenarkan makan bubur sekiranya sudah membuang angin. Sebelah malamnya, barulah saya berpeluang makan bubur dan sup ikan haruan yang Mus masak. Nikmatnya makan hanya Allah yang tahu.. Syukur Alhamdulillah, saya masih diberi kesempatan untuk merasai nikmat itu.

3 Mac 2012
Jam 8 malam, saya dibenarkan keluar dari hospital bila doktor berpuashati dengan kesihatan saya. Syukur Alhamdulillah...

Insya Allah, di lain posting, saya akan terangkan dengan lebih mendalam apa itu ECTOPIC PREGNANCY... Insya Allah...

2 comments:

  1. Allahuakbar!!! Alhamdulillah kak laily selamat..sorry sgt2 saya br berkesempatan baca blog akak ni..bz la kononnyer..tp betul2 suspen baca perenggan ke perenggan..sampai pecah ek..bunyi pun menakutkan..Alhamdulillah sgt2 kak laily dah makin sihat skrg..

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah Farsh.. Akk dah makin sihat.. Tpi, sekali sekala terass pedih juga di bahagian dlm perut klu terlalu aktif ke hulu ke hilir atau trlalu byk duduk berteleku di kerusi.. I know, it will take very long time to fully recover from this major operation.. Akk dah hilang satu nikmat bekerja keras dan beraktif sbgaimana dulu.. Akk ni kan jenis yg tak reti nak duduk diam jer kan? Yup! Sesungguhnya Allah sebaik2 perancang.. Mmg akk ni prrlu berehat dan kurangkan keaktifan kot hehe..

    ReplyDelete