Friday, December 31, 2010

Penghujung Tahun 2010

Hari terakhir di penghujung tahun 2010
Mengimbau 365 yang telah dilalui
Mimpi-mimpi indah yang menjadi realiti
Impian yang menjadi nyata
Matlamat yang mencapai sasaran
atau
omong omong kosong yang bertaburan
hajat yang tidak kesampaian
cita-cita yang tidak tercapai...

Imbasan sasaran terbesar tahun 2010...

Perniagaan serai...
setelah dua kali penanaman, nampak gaya penanaman kali kedua tampak lebih memberangsangkan berbanding tuaian kali pertama. Dengan pelbagai masalah persekitaran seperti kemarau yang panjang serta faktor tanah yang tidak begitu subur, penanaman musim kedua tampak lebih segar.. Itupun setelah dibaja berkali-kali. Kos baja nampaknya lebih besar untuk penanaman kali ini. Kebimbangan tetap terbit di hati melihat kos baja yang meningkat mendadak. Bimbang hasil jualan kelak belum mampu untuk menampung kos pembajaan. Kasihan kepada bapa mertua yang mengusahakan kebun tanpa mengenal penat dan jerih, tanpa gaji tanpa ganjaran.. Itu yang paling dibimbangkan...

Perniagaan dobi...
paling menyedihkan... dah dimulakan separuh jalan... bangunan telah siap dibina.. Kasihan kepada ayahanda yang membina sendiri bangunan kedai itu... walaupun tidak begitu sihat, walaupun tidak begitu berupaya namun tetap menggagahkan diri bagi merealisasikan impian anak-anak..

Kedai Dobi ini sebenarnya untuk diusahakan oleh adikku Lenny Suhana. Aku telah memperuntukkan sejumlah RM30K untuk projek ini. Namun, seseorang telah meminjam wang tersebut untuk menyelamatkan perniagaannya. Alhamdulillah, perniagaannya telah selamat dan kini berkembang maju... Aku masih menanti dan menanti... Sudah setahun berlalu, namun janji untuk memulangkan kembali wang yang dipinjam masih belum tertunai... Walaupun setiap bulan bayaran ansuran tidak pernah tertangguh, namun aku masih mengharapkan 30K itu untuk menggerakkan perniagaanku pula!

Pembinaan rumah...
hajat untuk mendiami rumah sendiri di tahun 2010 ternyata tidak juga terlaksana... Urusan pembinaan rumah ini sebenarnya tidaklah sukar. Lebih-lebih lagi dengan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Urusan pembelian tanah telah selesai sejak Ogos 2009. Selesai urusan pembelian tanah, kami mula melantik perunding untuk membuat pelan rumah. Urusan kelulusan pelan juga telah selesai pada bulan April 2010. Proses terakhir sebenarnya hanyalah isi borang permohonan pinjaman perumahan dan lantik kontraktor. Tapi, proses itulah yang belum terlaksana atas beberapa faktor berikut :-

1. Nilaian rumah : setelah melalui beberapa proses perubahan, nilaian rumah telah meningkat naik dan melebihi kelayakan pinjaman Mus. Bukan masalah besar, kerana kami boleh menggabungkan pinjaman. Tapi, kalau boleh aku ingin menggunakan kelayakanku untuk membeli asetku sendiri, tidak perlu berkongsi aset dengan Mus. Untuk penyelesaian masalah pertama ini, kami perlu bersabar, menunggu beberapa bulan lagi untuk menggunakan kelayakan pinjaman yang baru, yang bakal dikuatkuasakan pada tahun 2011 ini.

2. Lokasi rumah : lokasi rumah yang agak terdedah dengan kawasan banjir juga melambatkan proses membuat keputusan. Sewaktu memutuskan untuk membeli tanah tersebut, bukan kami tidak menimbangkan faktor ini. Namun saat ini, faktor itulah yang kian sarat bermain di fikiran...

Dalam puluhan mimpi-mimpi indah, banyak juga yang telah menjadi nyata... Syukur ke hadrat Allah yang melimpahi hamba-Nya dengan nikmat yang tiada taranya... Bila merenung kembali, terasa betapa kerdilnya diri berbanding nikmat yang Allah kurniakan.. Aku perlu lebih mensyukuri nikmat yang dikurniakan... Apalah sangat dengan 3 impian yang belum terlaksana berbanding dengan puluhan yang lain yang telah dikecapi... Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita, kita hanya boleh merancang, berusaha dan berdoa... Namun, ketentuannya hanya Allah yang tahu...

4 comments:

  1. Laily,
    Dah meriah nampak blog! Lega rasa... boleh tau perkembangan!

    Selamat Tahun Baru dengan mimpi-mimpi baru...

    ReplyDelete
  2. hehehe Alhamdulillah... sejak bertemu kembali dengan kakak "Minggu Remajaku" (Dr. K) dan kakak MPRku (Salina Ibrahim) jadi bersemangat semula untuk menulis...
    hehehe lagipun kat fb tak best nak tulis panjang2... hehehe...
    (pssssst ni kaknas ke??)

    ReplyDelete
  3. ayuh adikku, teruskan menulis, menulis dan menulis. dan ingat janji nak terbit buku untuk tahun 2011, bukan:-)

    ReplyDelete
  4. kakakku... i'll try my best... terasa berat di bahu tapi itulah sasaran tahun 2011ku!!! mudah2an mimpi kan jadi nyata!... anyway many thanks for the encouragement, really appreciate it!!

    ReplyDelete